Home Berita PAS Terengganu

2,844 Peserta meriahkan Jamboree peminat 4X4 Malaysia

6
SHARE

HULU TERENGGANU – Seramai 2,844 peserta bersama 948 kenderaan pacuan empat roda (4×4) dari seluruh negara berhimpun di Belukar Bukit, Hulu Terengganu sempena Program Jamboree Peminat 4X4 Malaysia Siri 4/2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Oktober itu berjaya menjadi antara jamboree 4×4 terbesar pernah diadakan di negeri itu.

“Acara kemuncak program ialah Terengganu International 4×4 (GPX4) Offroad Challenge 2025 yang diadakan pada hari terakhir dengan penyertaan 100 peserta bersama 50 buah kenderaan dalam dua kategori utama dan Litecore dan Hardcore.

“Pertandingan ini menjadi tumpuan utama peminat aktiviti lasak dari seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Team Jamboree 4×4 2025 bertempat di Kampung Belukar Bukit, Hulu Terengganu, kelmarin.

Program berkenaan merupakan anjuran Kay Adventure 4×4 dan kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama beberapa kelab Tempatan.

Razali berkata selain pertandingan, kawasan Belukar Bukit turut berubah menjadi ‘campsite’ besar apabila para peserta mendirikan khemah, berkumpul santai bersama keluarga dan rakan.

“Jamboree tersebut bukan sekadar medan perhimpunan bagi peminat 4×4, tetapi turut menjadi platform mengukuhkan semangat perpaduan komuniti dan kesukarelawan dari pelbagai latar belakang,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan memuji semangat gotong-royong tinggi sepanjang program berlangsung.

“Kerajaan negeri akan terus menyokong penganjuran aktiviti pelancongan berasaskan komuniti dan sukan lasak seperti ini.

“Hal ini kerana, ia bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat, malah membantu menaikkan imej Terengganu sebagai destinasi pelancongan sukan dan rekreasi ekstrem,” ujarnya.