Home Berita PAS Terengganu

Sekatan Kewangan Tak Halang Terengganu Laksana Kad Sejahtera

10
SHARE

Oleh : Syahida Mohd/Safwan Syakir

KUALA NERUS – Sekatan kewangan oleh pihak tertentu tidak menghalang Kerajaan Negeri Terengganu untuk terus melaksanakan program kebajikan Kad Sejahtera, demi memastikan rakyat tetap menerima manfaat kesihatan asas.

Program yang kembali dilaksanakan bagi Fasa 5 tahun 2025 ini menyaksikan seramai 4,224 rakyat Terengganu terpilih sebagai penerima, selepas dua tahun program tersebut terpaksa dihentikan akibat kekangan kewangan.

ADUN Bukit Tunggal, Lsr. Zaharudin Zahid, berkata Kad Sejahtera merupakan antara manifesto penting Kerajaan PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14, dan telah dilaksanakan sejak tahun 2019 hingga 2022.

Namun kata beliau, pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan pada 2023 dan 2024.

“Kalau sebelum ini penerima dari tiga DUN, Tepoh, Seberang Takir dan Bukit Tunggal seramai 10,000 orang dengan peruntukan RM10 juta, kali ini jumlah penerima dikurangkan kepada sekitar 500 orang bagi ketiga-tiga DUN.

“Ia disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika berucap dalam Program Taklimat Kad Sejahtera Fasa 5 di Riyadh Resident, di sini pagi semalam.

Menurut Zaharudin, walaupun jumlah penerima dan nilai bantuan diubah, pendekatan baharu ini membolehkan manfaat program terus dirasai rakyat, walaupun dalam keadaan kewangan negeri yang terbatas.

“Sebelum ini nilai bantuan RM500 setahun. Tahun ini, kita sesuaikan kepada RM200 untuk tempoh enam bulan. Walaupun lebih kecil, ia tetap mampu meringankan beban rakyat dan menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam mendahulukan kebajikan rakyat,” ujarnya.

Zaharuddin.

Pegawai Bahagian Undang-Undang TSIS, Kamal Ismail, yang hadir sebagai penceramah taklimat, menjelaskan bahawa bagi Fasa 5 ini, penerima tidak lagi menerima kad fizikal seperti sebelum ini.

Sebaliknya ujar beliau, nilai bantuan RM200 akan dimasukkan terus ke dalam kad pengenalan penerima.

“Langkah ini bagi mengelakkan masalah kehilangan atau tertinggal kad seperti sebelum ini.

“Penggunaan kad ini turut meliputi semua tanggungan penerima, dan sebarang penambahan ahli keluarga boleh dimaklumkan kepada Ketua JPKK atau Pusat Khidmat Masyarakat untuk pendaftaran dalam tempoh dua minggu,” jelasnya.

Menurut Kamal lagi, terdapat 90 klinik panel sah di seluruh negeri yang terlibat dalam pelaksanaan Kad Sejahtera.

“Had penggunaan ditetapkan sebanyak RM70 bagi setiap caj rawatan, membolehkan rakyat mengakses rawatan asas tanpa menanggung kos tinggi,” katanya.

Pelaksanaan program kali ini turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang turut menyalurkan sebahagian dana bagi menjayakan inisiatif ini.