Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Negeri Jumpa PR1MA Teroka Jalan Siapkan Projek Terbengkalai

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Batu Rakit yang kini masih terbengkalai dijangka ‘hidup’ kembali selepas kerajaan negeri mengadakan perbincangan bersama Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata perbincangan itu bertujuan bagi meneroka semula potensi projek tersebut.

Tambah beliau, pertemuan rasmi bersama pengurusan PR1MA turut membincangkan hala tuju dan peluang kerjasama baharu dalam pembangunan perumahan mampu milik di Terengganu.

“Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited dalam usaha membangunkan dan menyediakan kemudahan perumahan yang selesa serta mampu milik untuk rakyat.

“Komitmen ini dizahirkan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik bersama agensi persekutuan dan pihak berkaitan bagi memastikan setiap rakyat khususnya golongan B40 dan M40 berpeluang memiliki rumah sendiri.

“Pertemuan ini turut menumpukan kepada potensi tapak baharu untuk dimajukan serta cadangan meneruskan semula Projek PR1MA di Batu Rakit,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, semalam.

Turut bersama dalam kunjungan rasmi itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan delegasi daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan (Bahagian Perumahan).

Menurutnya lagi, kerajaan negeri optimis bahawa kerjasama erat dengan PR1MA akan membuka ruang lebih luas bagi pelaksanaan projek perumahan berkualiti di seluruh Terengganu.

“Kerajaan negeri optimis bahawa melalui kerjasama erat dengan PR1MA, lebih banyak projek perumahan berkualiti dan mampu milik dapat direalisasikan di negeri ini.

“Seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh kesejahteraan komuniti, insya-Allah,” ujarnya.

Projek PR1MA Batu Rakit yang diumumkan pada tahun terdahulu sebelum ini dirancang membabitkan 350 unit kediaman berharga antara RM195,000 hingga RM241,000 dengan keluasan 850 kaki persegi.

Ia merupakan skim projek perumahan yang telah dilancarkan pada 4 Julai 2011 oleh mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan dipertanggungjawabkan kepada PR1MA Corporation Malaysia sebagai pemaju.

Perumahan itu sebelum ini dirancang untuk mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Antara kemudahan lain disediakan ialah surau berhampiran pantai,  dewan komuniti serta bilik pengurusan jenazah.

Namun, projek di Batu Rakit itu terpaksa dihentikan selepas mencatat kadar tempahan rendah (10 peratus tempahan) dan isu lokasi berhampiran pantai yang terdedah kepada masalah hakisan.