Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Sambut Wira Sumud di Lapangan Terbang Sultan Mahmud

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu bakal meraikan kepulangan aktivis-aktivis kemanusiaan anak negeri yang menyertai Sumud Flotilla, sebuah misi antarabangsa membawa mesej solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin pada Khamis ini jam 2.30 petang.

Sambutan itu dijangka menjadi manifestasi sokongan rakyat negeri ini terhadap keberanian dan pengorbanan mereka yang dianggap wira rakyat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penyertaan rakyat Terengganu dalam misi tersebut membuktikan keprihatinan tinggi terhadap penderitaan rakyat Palestin dan semangat kemanusiaan yang tidak berbelah bahagi.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap perjuangan rakyat Palestin serta menghargai keberanian aktivis yang menyertai misi berisiko itu.

“Kita berbangga kerana ramai rakyat Malaysia terlibat, khususnya rakyat negeri Terengganu,” ujarnya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Dr. Khalil turut menyifatkan para aktivis tersebut sebagai lambang keberanian dan suara rakyat negeri yang memperjuangkan keadilan sejagat.

“Kita menganggap mereka adalah wira rakyat Terengganu dan menjadi wakil kepada rakyat Terengganu untuk membela isu Palestin,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan mengadakan sambutan rasmi bagi meraikan kepulangan wira-wira terbabit.

“Kita akan mengadakan sambutan bagi menyambut kepulangan wira-wira kita,” katanya sambil menyifatkan ia tanda penghargaan terhadap perjuangan anak Terengganu di pentas antarabangsa.

Selain sambutan tersebut, Dr. Khalil turut mengumumkan tiga program utama berkaitan isu Palestin yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.

“Pada 10 Oktober akan diadakan program Perarakan Bot menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Pada 14 Oktober pula, program Maulid Akbar Untuk-Mu Al-Aqsa akan diadakan, manakala 17 Oktober akan berlangsung Ceramah Taufan Al-Aqsa yang bakal dihadiri tokoh-tokoh utama termasuk Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, yang akan menyampaikan ucaptama pada malam tersebut,” jelasnya.

Dr. Khalil menyeru rakyat Terengganu agar terus berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin melalui doa, sokongan dan tindakan nyata, sebagai bukti keutuhan solidariti umat Islam sejagat.