Minda Presiden PAS
[Bil: 59 / 2025]
PEJUANG KEMERDEKAAN: BADANNYA DI KUALA LUMPUR, HATINYA DI LONDON
Mereka ini paling ke hadapan pada hari ulang tahun menyambut kemerdekaan, dan paling kuat suaranya melaungkan tempikan “Merdeka!”. Selepas itu, pemikirannya pula melayang ke London, ibu negara bekas penjajahnya yang masih dianggap tuan.
Ibn Khaldun RH menegaskan dalam al-Muqaddimah:
الْمَغْلُوبَ يَتَشَبَّهُ أَبَدًا بِالْغَالِبِ فِي مَلْبَسِهِ وَمَرْكَبِهِ وَسِلَاحِهِ فِي اتِّخَاذِهَا وَأَشْكَالِهَا، بَلْ وَفِي سَائِرِ أَحْوَالِهِ.
“(Kebiasaannya), bangsa yang kalah atau yang dijajah akan sentiasa berbangga dengan (meniru atau menyerupai) pihak yang menjajah sehingga terpengaruh dengan budaya mereka (pemakaian, tunggangan, dan senjatanya), bahkan dalam keseluruhan kehidupannya.” [Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun, jld. 1 (al-Muqaddimah), hlm. 184]
Kenyataan ini dapat dilihat dengan nyata benarnya, betapa kesan penjajahan masih menguasai pemikiran bangsa yang dijajah.
Kini, golongan itu termasuk dalam kalangan yang disenaraikan sebagai pejuang kemerdekaan dan dibariskan di hadapan. Adapun pejuang kemerdekaan sebenar yang bangkit berjuang sejak awal kedatangan penjajah secara bertali arus selama beberapa abad, dilupakan dan ditimbus dalam lipatan sejarah yang dikhianati.
Pendatang baharu dalam perjuangan yang disebutkan di atas merasakan lebih megah sekiranya mereka berpakaian dengan gaya Barat, walaupun berada dalam cuaca di Malaysia. Lagi tinggi pangkatnya, lagi tebal pakaiannya. Rasa panas Malaysia dihilangkan oleh semangat London dalam dirinya. Kalau masih tidak tahan, disejukkan lagi dengan pendingin hawa, bukan kerana cuaca yang panas tetapi kerana meraikan pakaiannya. Tidak salah menyediakan pendingin hawa pada hari yang panas, tetapi salahnya kerana hilang semangat jati dirinya.
Bahasanya juga lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa kebangsaan (bahasa Melayu), walaupun semua ahli mesyuaratnya atau yang hadir dalam majlisnya merupakan rakyat Malaysia yang fasih berbahasa kebangsaan.
Termasuklah urusan memeteraikan sesebuah perjanjian seperti dalam perjanjian Pangkor yang terkenal. Penjajah sendiri pada awalnya masih menggunakan bahasa Melayu demi meraikan semangat patriotik yang masih wujud dalam kalangan orang Melayu. Malah, mereka juga masih mengekalkan tulisan Jawi kerana mahu menipu rakyat tempatan.
Penipuan itu ditentang dengan perjuangan, sehingga ada kalangan raja dibuang negeri dan para pembesar dihukum mati menjadi syuhada’. Malangnya, mereka semua dilupakan daripada lipatan sejarah.
Di luar negara pula, dalam persidangan antarabangsa menggunakan bahasa Inggeris. Sedangkan semua ketua negara lain yang berdaulat tetap menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing, meskipun mereka fasih dalam pelbagai bahasa asing.
Walaupun telah ditubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memperkasakan bahasa kebangsaan, laksana bedak sejuk kosmetik Melayu. Apabila dalam keadaan panas, ia akan hilang pudar dengan mudah.
Kemerdekaan tidak dipanjangkan dengan cara memerdekakan sistem pendidikan dan pelajaran daripada penjajahan pemikiran. Akibatnya, proses untuk mendapatkan ilmu memakan masa yang lama kerana terpaksa belajar bahasa Inggeris terlebih dahulu.
Kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyatakan bahawa pelajaran dan pendidikan yang meninggalkan bahasa ibunda rakyat sering kali menemui kegagalan.
Disebabkan itulah, negara-negara besar seperti Jepun, Jerman, China, dan terkini Republik Islam Iran, memperkasakan bahasa kebangsaannya. Para pemimpinnya tetap berucap dalam bahasa kebangsaan, walaupun fasih berbahasa asing, termasuk semua bahasa penjajah yang mengalahkannya dalam dua siri Perang Dunia sebelum ini.
Namun kini, semua negara itu berubah menjadi sebuah negara besar. Hal ini demikian kerana, pencapaian dan kemajuannya dibina dengan semangat slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”, melainkan apabila seseorang itu dihantar ke luar negara untuk menimba ilmu. Setelah pulang, mereka kemudiannya akan menterjemahkan ilmu yang diperolehi itu ke dalam bahasa ibunda.
Walaupun Islam yang berdaulat termaktub sebagai agama bagi Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, ia masih dikekalkan dalam kurungan yang dicipta oleh penjajah. Seolah-olah menjadi penjara yang menghalang Islam daripada dilaksanakan dengan sempurna. Bahkan, tanpa mempedulikan firman Allah Yang Maha Benar, Bijaksana dan Adil, melalui firman-Nya:
وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ ٥٠
“Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah jua kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu. (48) Dan hendaklah kamu memutuskan perkara antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasiq. (49) Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (50)” [Surah al-Ma’idah: 48-50]
Namun begitu, rujukan undang-undang, politik, dan ekonomi juga berkiblatkan London. Akhirnya, pelbagai perkara negatif yang merosakkan rakyat dan masyarakat gagal dicegah, disebabkan oleh gejala sosial yang melanda semua negara Barat.
Islam mengekalkan institusi raja atau melantik khalifah sebagai ketua negara berperlembagaan yang mendaulatkan pemerintahan bersama Islam. Kini, raja kita direndahkan tarafnya laksana Raja England sekadar menjadi simbol yang tidak berdaulat. Walaupun ditempikkan dengan laungan, “Daulat Tuanku!”, ia hanya laungan tanpa kuasa yang diiringi dengan petunjuk Allah. Malangnya, direndahkan lagi tarafnya dengan memuja Raja England yang masih dianggap raja besarnya.
Hakikatnya, tamadun Barat adalah hasil plagiat daripada Tamadun Islam pada zaman keemasannya. Akan tetapi, ia dipisahkan daripada agama dan kini sedang membakar Blok Barat setelah kehancuran Blok Timur pada abad yang lalu kerana kegagalan prinsip dan konsep sekularisme yang dianutinya.
Malangnya, kita terus berkiblatkan penjajah Barat walaupun kiblat solat, haji dan umrah masih ke arah Makkah. Hal ini demikian kerana, hanya jasad sahaja berada di tanah air, tetapi hati berada di negara penjajah.
Hasil bumi ciptaan Allah yang melimpah-ruah di tanah air kita tidak dimanfaatkan untuk negara sendiri, tetapi dimanfaatkan oleh negara bekas penjajah yang menjadikan kita laksana lembu susu. Hanya sekadar diberikan rumput, adapun susunya diambil untuk menggemukkan mereka.
Dalam negeri sendiri pun kita gagal menghadapi masalah kemiskinan dan pengangguran, malah kadang-kadang kita lebih bergantung kepada penggunaan warga asing. Hal ini disebabkan kita lebih banyak mengejar keuntungan dan pelaburan yang tidak memberi pengalaman untuk memajukan negara sendiri. Di samping itu, kita juga tidak memberi peluang pekerjaan kepada rakyat, kerana sentiasa menumpang kemajuan negara lain, khususnya negara bekas penjajah. Maka, jadilah kita laksana kera di hutan disusukan, anak dipangkuan dilemparkan.
Dalam aspek pertahanan pula, kita lebih bergantung kepada perlindungan negara bekas penjajah dengan membenarkan adanya pangkalan tentera, atau memberikan kemudahan kepada negara besar yang pernah menjajah. Hal ini berlaku kerana mereka dianggap menjadi pelindung.
Apabila berlaku krisis yang mencetuskan perang dalam kalangan kuasa besar, sering kali negeri jajahan menjadi medan perang. Rakyatnya pula dipaksa menjadi tentera penjajah dan paling ramai menjadi mangsa peperangan, malah kemusnahan besar akan berlaku di negara tanah jajahan.
Asia Tenggara pernah menjadi medan Perang Dunia Kedua antara Negara Bersekutu Barat dengan Jepun. Anak negeri jajahan termasuk askar Melayu dikerah berperang bagi pihak British bersama rakyat jajahan yang lain. Bahkan, mereka sering kali diletakkan di barisan hadapan kerana termakan pujian bahawa kitalah tentera yang paling gagah berani, tetapi sebenarnya menjadi korban bagi mempertahankan penjajah.
Allah memerintahkan kita supaya merdeka dari segi ketenteraan dan pertahanan. Firman Allah SWT:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]
Negara ini masih terikat dengan gagasan British Commonwealth dalam segala lapangan, sehingga Raja England dianggap lebih tinggi daripada raja-raja kita. Sehinggakan, kita turut berkabung sama pada hari kematiannya dan ada yang mengangkat bendera setengah tiang kerana kematiannya. Malah, kita juga pernah menjadi tuan rumah kepada sukan Komanwel dan ramai yang berbangga dengan penganjurannya walaupun menghabiskan wang perbelanjaan yang besar.
Demikianlah wajah kemerdekaan yang diperjuangkan oleh kalangan mereka yang dianggap pahlawan pejuang kemerdekaan. Adapun pejuang kemerdekaan sebenar yang telah berkorban nyawa dan jiwa raga mereka ditimbus, dilupakan dan dihapuskan dalam pengajian sejarah negara kita, sehingga anak-anak kita buta sejarahnya yang sebenar kerana telah ditipu.
Sejarah membuktikan bahawa umat Islam masih berjaya mempertahankan peribadi Islamnya apabila dijajah oleh kaum Tartar yang paling ganas. Akhirnya, kaum yang ganas itu bukan sahaja dikalahkan oleh umat Islam, bahkan mereka berjaya diislamkan.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 13 Rabi‘ al-Awwal 1447 / 6 September 2025