Minda Presiden PAS
[Bil: 60 / 2025]
ISLAM MEMIMPIN MASYARAKAT MAJMUK
Firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١
“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong-Nya (agama-Nya). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40–41]
Ayat ini menunjukkan bahawa Islam adalah paling bertasamuh (bertoleransi) dalam masyarakat majmuk apabila berkuasa memerintah negara. Perkara ini dinyatakan dalam al-Quran, kitab suci umat Islam yang menjadi aqidah yang diimani dan wajib dilaksanakan, bukan manifesto pilihan raya yang boleh ditipu dan dimungkir janji oleh mereka yang berpegang pada percakapan manusia melalui lidah yang tidak bertulang dan pena yang cair dakwatnya, maka dilanggar sewenang-wenangnya.
Perintah Allah daripada firman-Nya adalah haram dilanggar kerana berdosa dan akan dihukum pada Hari Akhirat kelak, walaupun terlepas dan bebas daripada hukuman dunia.
Diperintahkan kepada Nabi Muhammad, Rasulullah SAW yang terpaksa berperang kerana dihalau dan diperangi oleh bangsanya yang tidak menerima Islam dan memerintah negara di Makkah, malah Baginda menolak tawaran ditabalkan menjadi raja atau pemimpin besar.
Akhirnya, Baginda berhijrah ke Madinah dan menegakkan negara yang bermasyarakat majmuk. Pada awalnya, penduduk bukan Islam adalah majoriti, tetapi kemudian mereka menerima Islam memerintah kerana benci akan kezaliman bangsanya sendiri.
Islam mencapai kemenangan dalam peperangan yang dipaksakan dan berkuasa menegakkan negara dalam keadaan yang kuat berkuasa, namun Allah memerintahkan supaya menegakkan konsep tiada paksaan dalam beragama dan berlaku adil kepada semua dalam masyarakat majmuk.
Dalam perkara agama, Allah SWT berfirman:
لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ … ٢٥٦
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)…” [Surah al-Baqarah: 256]
Firman Allah SWT:
وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَأٓمَنَ مَن فِي ٱلۡأَرۡضِ كُلُّهُمۡ جَمِيعًاۚ أَفَأَنتَ تُكۡرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُواْ مُؤۡمِنِينَ ٩٩
“Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka, adakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” [Surah Yunus: 99]
Walaupun ditegaskan Islam adalah yang benar di sisi Allah dan menjadi agama negara yang diperintah, di samping penganutnya wajib mempertahankan Islam dan berdakwah mengajak semua kepada menganut Islam, Islam melarang paksaan serta memberikan kebebasan untuk berfikir dan memilih mengikut akal masing-masing. Hal ini demikian kerana, Islam itu mewajibkan keikhlasan, bukan berpura-pura.
Firman Allah SWT:
وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ … ٢٩
“Dan katakanlah, ‘Kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu. Maka, sesiapa yang ingin (beriman), hendaklah dia beriman, dan sesiapa yang ingin (kafir), biarlah dia kafir…’” [Surah al-Kahf: 29]
Islam memberikan hak kebebasan kepada masyarakat menganut agama masing-masing dan melarang umatnya daripada memusnahkan rumah ibadat penganut agama lain. Islam juga melarang umatnya daripada beramal dengan ajaran agama mereka, termasuk perkara yang diharamkan oleh Islam, tetapi dihalalkan oleh agama mereka dengan sempadan menjaga hubungan kemasyarakatan dan kemanusiaan.
Allah melarang daripada melakukan provokasi yang menyebabkan kekufuran yang lebih parah terhadap Allah. Firman Allah SWT:
وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَيۡرِ عِلۡمٖۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمۡ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرۡجِعُهُمۡ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٠٨
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian, kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa-apa yang dahulu mereka kerjakan.” [Surah al-An‘am: 108]
Percaya kepada Allah Pencipta alam ialah kepercayaan semua agama dan menjadi fitrah manusia, maka semua agama percaya kepada Allah. Akan tetapi, perbezaannya ialah mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah. Hal ini termasuklah kumpulan ateisme yang menolak adanya Tuhan, namun apabila dalam keadaan terpaksa atau bahaya, mereka turut mengadu kepada Allah. Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِي يُسَيِّرُكُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِۖ حَتَّىٰٓ إِذَا كُنتُمۡ فِي ٱلۡفُلۡكِ وَجَرَيۡنَ بِهِم بِرِيحٖ طَيِّبَةٖ وَفَرِحُواْ بِهَا جَآءَتۡهَا رِيحٌ عَاصِفٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡمَوۡجُ مِن كُلِّ مَكَانٖ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُمۡ أُحِيطَ بِهِمۡ دَعَوُاْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ لَئِنۡ أَنجَيۡتَنَا مِنۡ هَٰذِهِۦ لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلشَّـٰكِرِينَ ٢٢ فَلَمَّآ أَنجَىٰهُمۡ إِذَا هُمۡ يَبۡغُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّمَا بَغۡيُكُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۖ مَّتَٰعَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ ثُمَّ إِلَيۡنَا مَرۡجِعُكُمۡ فَنُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ٢٣
“Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, (belayar) di lautan. Sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurlah bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik serta mereka bergembira kerananya, datanglah angin badai, dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpa mereka, dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. (Mereka berkata), ‘Sesungguhnya, jika Engkau menyelamatkan kami daripada bahaya ini, pastilah kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur.’ (22) Maka, tatkala Allah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka membuat kezaliman di muka bumi tanpa (alasan) yang benar. Wahai manusia, sesungguhnya (bencana) kezalimanmu akan menimpa dirimu sendiri! (Hasil kezalimanmu) itu hanyalah keni‘matan hidup duniawi, kemudian kepada Kamilah kembalimu, lalu Kami khabarkan kepadamu apa-apa yang telah kamu kerjakan. (23)” [Surah Yunus: 22–23]
Allah juga memerintahkan dalam al-Quran supaya berlaku adil kepada semua rakyat Islam dan bukan Islam, termasuk kepada musuh Islam yang menceroboh. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil! Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Keadilan Islam kepada masyarakat majmuk adalah menyeluruh dalam segala aspek kehidupan, merangkumi hubungan kejiranan, politik, ekonomi, pendidikan, kehakiman, dan lain-lain.
Sehingga dalam peperangan pun, Allah mengharamkan perbuatan melampau terhadap musuh. Firman Allah SWT:
وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]
Islam mengharamkan perbuatan melampau dalam peperangan terhadap musuh yang melampau, di samping mengharamkan membunuh atau mencederakan mereka yang tidak terlibat dengan operasi peperangan seperti kanak-kanak, kaum wanita, dan warga tua, termasuk agamawan bukan Islam dan orang awam yang lain. Sehinggakan, Islam mewajibkan pembayaran diat (pampasan) terhadap mereka yang menjadi korban kerana perintah agama, tanpa memerlukan mahkamah antarabangsa seperti pada zaman kini yang tidak diendahkan keputusannya oleh negara yang kuat.
Rasulullah SAW menjadi pemimpin teladan ketika menjadi ketua negara Islam di Madinah apabila mengajak kaum pelbagai agama menyertai perjanjian yang dimeteraikan yang dinamakan Sahifah Madinah (Piagam Madinah), melibatkan kaum Yahudi, Kristian, dan Musyrikin. Mereka menerima Islam memimpin dan memerintah negara dan disaksikan sendiri pelaksanaannya mengikut perintah Allah SWT dan kebijaksanaan Rasulullah SAW.
Kemenangan Islam dalam sejarahnya disambut oleh rakyat setelah menjatuhkan kerajaan kuasa besar yang zalim. Islam dianggap penyelamat, bukannya penjajah.
Sehinggakan, di negara yang diperintah oleh Islam dan majoriti rakyatnya menganut Islam, masih tetap ada penganut bukan Islam diberikan kerakyatan sejak turun-temurun dan rumah ibadat mereka tidak dirobohkan.
Adapun berlaku perobohan rumah ibadat dalam sejarah apabila mereka meninggalkan agama mereka dan menganut Islam dengan rela hati tanpa paksaan, lalu mereka menukarkannya kepada masjid.
Kini, kita dapat menyaksikan dan disaksikan oleh seluruh pelosok dunia dalam peperangan yang berlaku di Palestin, khususnya di Gaza. Dapat disaksikan betapa Israel dan sekutunya daripada negara besar Amerika Syarikat dan Eropah yang dikatakan pejuang demokrasi dan hak rakyat membatalkan kemenangan Hamas bagi menubuhkan kerajaan setelah kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum Palestin 2006, lalu Hamas terpaksa bertahan di Gaza, sebuah wilayah yang kecil.
Tiba-tiba, mereka melancarkan serangan ganas dan melampau sehingga membunuh kanak-kanak, wanita, warga tua, dan para petugas bantuan kebajikan antarabangsa, di samping menyerang rumah ibadat, termasuk gereja, hospital, khemah perlindungan, sekolah, dan rumah rakyat awam. Terkini, mereka menyekat makanan dan perubatan sehingga kebuluran, lantas mencetuskan bantahan di seluruh dunia, termasuk negara bukan Islam.
Sebaliknya, diakui secara terbuka oleh tawanan Yahudi betapa layanan kemanusiaan oleh tentera Islam adalah yang terbaik. Inilah perintah Allah SWT:
وَيُطۡعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسۡكِينٗا وَيَتِيمٗا وَأَسِيرًا ٨ إِنَّمَا نُطۡعِمُكُمۡ لِوَجۡهِ ٱللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمۡ جَزَآءٗ وَلَا شُكُورًا ٩
“Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim, dan orang yang ditawan. (Sesungguhnya, kami memberikan makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredaan Allah, kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. (9)” [Surah al-Insan: 8–9]
Maka, Islam mendahului piagam antarabangsa yang menetapkan layanan baik kepada tawanan perang.
Di sini menunjukkan bahawa prinsip kemanusiaan Islam dalam menangani masyarakat majmuk adalah menyeluruh, bukan sahaja masyarakat majmuk di dalam satu negara, bahkan merangkumi masyarakat majmuk antarabangsa di seluruh dunia. Hal ini demikian kerana, manusia semuanya berada dalam satu keluarga besar, berpandukan firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١
“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya, Allah menciptakan isterinya; dan daripada kedua-duanya, Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak! Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]
Islam memerintah negara besar dari timur hingga barat selama beberapa abad, dengan Islam memerintah masyarakat majmuk secara aman sejahtera.
Di Malaysia atau Tanah Melayu pada masa dahulu juga, syariat Islam yang menyeluruh pernah dilaksanakan sebelum kedatangan penjajah yang merosakkan. Walau Islam tidak lagi berdaulat, ajaran Islam masih diamalkan oleh bangsa Melayu yang menganut Islam, sehingga satu keluarga bukan Islam boleh berada dalam keadaan selamat di tengah-tengah masyarakat Melayu yang beragama Islam.
Sehinggakan, kaum Melayu tidak menghalang kaum lain menggunakan bahasa ibunda mereka dan membuka sekolah mereka sendiri serta menggunakan media dalam bahasa mereka; sesuatu yang tidak berlaku di negara lain. Perkara ini ialah pelaksanaan firman Allah SWT:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ ٢٢
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi serta berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” [Surah al-Rum: 22]
Apa yang mendukacitakan ialah tuduhan bahawa Melayu ini perkauman dan fanatik agama oleh kalangan bukan Islam yang ekstrem, dan lebih malang lagi apabila daripada kalangan Melayu yang buta agama dan buta al-Quran ikut bersuara sumbang terhadap agama dan bangsa mereka sendiri.
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membuktikan pelaksanaan Islam, walaupun hanya terbatas bawah bidang kuasa empat kerajaan negeri yang dikuasainya (Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis). Walaupun masyarakat majoriti Islam adalah sangat besar dan berkuasa di keempat-empat negeri itu, kalangan bukan Islam tetap berada dalam masyarakat majmuk yang harmoni dan aman.
Para ulama’ yang bertafaqquh dalam hukum Islam membenarkan orang bukan Islam berada dalam kerajaan dan pentadbiran negara Islam, dalam aspek pentadbiran dan pengurusan yang tidak menyentuh perkara dasar dan rukun Islam. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]
Adapun kejatuhan negara Islam adalah kerana kelalaian meninggalkan ajaran Islam dan jahil terhadap agama sendiri, bukan kerana kelemahan ajaran Islam yang adil kepada semua.
Adapun permusuhan negara Barat terhadap Islam adalah kerana dengki dan menolak Islam. Apabila mereka menerima Tamadun Islam dalam aspek keduniaan sahaja tanpa Islam yang menyeluruh, mereka maju dalam sains dan teknologi, namun tanpa panduan agama Islam melalui teori sekularisme yang memisahkan urusan dunia daripada agama.
Keadaan tersebut menjadikan kemajuan kebendaan mereka bersifat melampau, sehingga sanggup mencipta senjata pemusnah dan menjajah negara yang lemah, melancarkan Perang Salib terhadap Islam sehingga beberapa abad, memperhambakan dan mengabdikan rakyat yang dijajah, serta merompak hasil negeri yang dijajah.
Mereka tidak mengenang jasa Tamadun Islam yang membebaskan mereka daripada era kegelapan dan dikongkong oleh agama yang memisahkan mereka daripada ilmu urusan keduniaan, sehingga menyaksikan dunia Islam yang bertamadun. Mereka mengambil ilmu dunia tanpa agama Islam kerana kedengkian serta fanatik agama dan bangsa, padahal mereka mengetahui hakikat yang sebenar. Firman Allah SWT:
وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ … ١٠٩
“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran…” [Surah al-Baqarah: 109]
Malangnya, apabila berlaku kesedaran semula umat Islam kepada ajaran Islam yang sempurna, umat Islam dituduh sebagai pengganas dan difitnah dengan cara Islamofobia pula, malah para ulama’ dan saintis Islam dianggap pengganas, sehingga dicari dan dibunuh atau ditahan. Kemajuan umat Islam dihalang, sementara negara Islam yang mencapai kemerdekaan diganggu dengan berbagai-bagai cara dan penjajahan bentuk baharu bagi menghalang kebebasan dan hak asasi yang dikatakan menjadi perjuangan mereka.
Namun begitu, cahaya Islam gagal dipadamkan dan ia tetap menembusi benteng yang menghalangnya serta mengoyakkan topeng yang menutup wajahnya yang bercahaya, sehingga perkembangan Islam menembusi negara penjajah.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 16 Rabi‘ al-Awwal 1447 / 9 September 2025