Home Minda Presiden

MENGHADAPI MASYARAKAT MAJMUK YANG DIATUR PENJAJAH

1
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 61 / 2025]
MENGHADAPI MASYARAKAT MAJMUK YANG DIATUR PENJAJAH


Kita sedang menghadapi saki-baki penyusunan masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah, yang bertujuan mengadu domba bagi mengekalkan kepentingan mereka.

Walaupun negara ini dikatakan telah diberikan kemerdekaan dan bangsa penjajah sudah pulang ke tanah airnya, mereka meninggalkan permasalahan yang sengaja diwujudkan sebagai alasan untuk kembali semula menjadi pembantu yang khianat.

Kita memerlukan perubahan untuk membebaskan diri daripada rantaian belenggu penjajah yang masih mengikat kita dengan masalah yang telah mereka aturkan. Hal ini termasuklah masalah dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara warisan penjajah yang sedang menjadi perbincangan kerana terdapat banyak lompangnya.

Namun begitu, kita perlu melakukan muhasabah terlebih dahulu sebelum melakukan perubahan yang positif terhadap sebarang perkara yang memerlukan pindaan. Khususnya dalam perkara yang boleh mencetuskan krisis daripada perkara yang telah diadakan oleh penjajah, kerana ia laksana bom jangka atau jerangkap samar yang boleh memusnahkan kita semua.

Masyarakat majmuk di negara kita bukan sahaja mengalami perbezaan dari aspek agama dan bangsa, bahkan turut perbezaan yang mewujudkan jurang dari aspek pendidikan, politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Namun, Islam yang bersifat al-din yang merangkumi segala aspek dan mempunyai mesej yang bersifat sejagat, boleh menerima konsep masyarakat majmuk dan boleh menyelesaikan masalahnya.

Oleh itu, bangsa Melayu yang beragama Islam dan kaum bumiputera bukan Islam yang telah bersebati hidup bersama dapat menerima masyarakat majmuk. Hal ini demikian kerana, Islam telah mempunyai pengalaman pelaksanaan selama beberapa abad di negara besar Islam yang berkali-kali ganda lebih majmuk daripada Malaysia dalam sejarahnya.

Maka, masyarakat majmuk yang ada di Malaysia perlu dibuka peluang terlebih dahulu untuk memahami pendekatan Islam yang berbeza dengan penjajah. Antaranya konsep Islam yang adil kepada semua, tidak ada paksaan dalam beragama dan mengharamkan taasub (fanatik) perkauman.

Malah, Islam juga mengamalkan prinsip menerima yang baik daripada semua kaum dan menolak yang buruk walaupun daripada bangsa dan umat sendiri. Berbeza dengan pendekatan penjajah yang sengaja menanam benih bagi mencetuskan masalah.

Penjajah sengaja membawa masuk masyarakat berbagai-bagai bangsa dan agama dari tanah jajahannya dan yang berada di bawah pengaruhnya, mereka sengaja mengatur strategi dengan mencatur bidak-bidak ini supaya menjadi masalah yang berpanjangan. Hal ini sekali gus membolehkan mereka mengekalkan kuasa atau pengaruhnya supaya kita terus menjadi sebuah negara yang lemah, berpecah belah, dan boleh dicatur semula bila-bila masa.

Kaedahnya adalah dengan mengadu domba antara kaum dengan semangat perkauman yang fanatik, sikap beragama yang melampau, dan hubungan bermasyarakat yang rapuh. Akhirnya, boleh merosakkan apa yang pernah dibawa oleh Islam yang memerintah dengan membawa kecintaan dan perasaan kasih kepada kaum dan bangsa masing-masing tanpa sebarang masalah.

Di samping itu, Islam juga tidak membenarkan fanatik perkauman dan paksaan dalam beragama kerana menegaskan bahawa manusia adalah satu keluarga, sepertimana firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri (Adam AS), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawwa’ AS); dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya, kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]

Islam juga mengamalkan konsep persamaan dari aspek kemanusiaan yang mempunyai berbagai-bagai bangsa. Malah, kedudukan yang berdasarkan kebangsaan, keturunan, warna kulit, dan harta tidak menentukan martabat seseorang manusia, sebaliknya melalui sifat baik yang lahir daripada kepatuhan kepada petunjuk Allah yang dinamakan taqwa yang menentukan martabat manusia, sepertimana firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling berkenal-kenalan (bermasyarakat). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan kamu).” [Surah al-Hujurat: 13]

Islam menolak konsep masyakat madani yang dibawa oleh ahli-ahli falsafah Barat yang bersifat kemajuan kebendaan, warna kulit, keturunan dan bangsa semata-mata. Adapun bagi Malaysia Madani, tidak pula dinyatakan apakah maksud perkataan madani yang hanya menjadi slogan kosong tanpa dinyatakan prinsip dan landasan yang menentukan hala tujunya sama ada betul ataupun sesat.

Islam mentafsirkan madani yang disebut dalam ayat di atas dengan mentafsirkannya berpandukan ayat yang lain. Antaranya dengan membawa konsep bertolong-tolongan yang menghubungkan hati dengan roh, bukan sekadar hubungan kebendaan yang masih lagi menjadi dasar negara.

Islam membawa hubungan yang menyeluruh dengan menggalakkan bertolong-tolongan antara satu sama lain mengikut fitrah manusia. Di samping itu, Islam juga mengamalkan prinsip berkebajikan dalam hubungan dengan Allah dan manusia. Firman Allah SWT:

… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]

Penjajah menyusun masyarakat dengan mencipta sistem yang menggalakkan perpecahan dan pertembungan. Antaranya dengan meletakkan kaum Cina di kawasan lombong dan bandar, manakala kaum India pula di ladang-ladang, dan kaum Melayu Islam serta bumiputera di kawasan pedalaman.

Kaum Cina berada di kawasan lombong dan bandar yang mempunyai banyak kemudahan dan bergerak dengan perniagaan yang berskala besar. Tujuannya adalah bagi memajukan ekonomi berkonsepkan kapitalisme yang mencetuskan penindasan atau konsep sosialisme yang mencetuskan kezaliman, kerana semuanya bersifat kebendaan dan lahiriah sahaja.
Kaum Melayu Islam dan bumiputera pula lebih banyak berada dalam lapangan pertanian yang menjadi pembekal kepada perniagaan, sementara kaum India pula berada di ladang dan sekadar menjadi pekerja di sana. Kemudiannya, mereka ditarik menjadi buruh yang terbatas kegiatan ekonominya dan diberikan pelajaran tanpa disediakan sebarang kemudahan.

Adapun Islam membawa konsep ekonomi yang adil. Golongan kaya tidak boleh menindas manakala yang miskin pula tidak boleh merampas melalui kerajaan yang dipilih, kononnya untuk membela masyarakat miskin.

Firman Allah SWT:

مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧

“Apa saja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal daripada kalangan penduduk kota-kota, maka ia adalah untuk Allah, Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu tidak beredar dalam kalangan orang-orang kaya antara kamu sahaja. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat keras hukumannya.” [Surah al-Hashr: 7]

Kekuatan ekonomi dan kemudahan yang ada di sesuatu kawasan adalah bagi menjana kemajuan dalam aspek yang lain dalam kehidupan manusia di alam dunia.

Pada zaman politik wang dan kebendaan, kedua-duanya dapat mempengaruhi politik dan pentadbiran melalui amalan rasuah terhadap pemimpin, manakala rakyat pula dibeli dan dibuli secara tidak terkawal. Hal ini membawa kepada perpecahan yang tidak terkawal oleh pemimpin yang khianat dan menipu kerana politiknya dipisahkan daripada agama.
Islam menetapkan politik memimpin negara adalah amanah daripada Allah. Firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan segala amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]

Dalam sejarah keemasannya, Islam diterima apabila kewajipan bernegara disenaraikan dengan kewajipan beribadat. Dengan adanya konsep hisab dan balasan daripada Allah, Islam telah berjaya memimpin masyarakat majmuk berkonsepkan adil kepada semua, sesuatu yang tidak sama dengan agama yang lain dan ideologinya yang tidak ada perhitungan dosa dan pahala dalam urusan keduniaan.

Islam menggalakkan kemajuan ilmu dunia yang bermanfaat daripada semua bangsa dan tamadun. Malah, Islam menerima yang positif dan membatalkan yang negatif, sehingga berjaya melahirkan tamadun yang berpandukan Islam sebagai petunjuk dalam semua aspek kehidupan. Hal ini termasuklah semua aspek yang disenaraikan dalam kewajipan fardu ain (diwajibkan kepada setiap individu) dan fardu kifayah (lapangan tertentu), yang semuanya berkait dengan perintah agama. Sabda Rasulullah SAW:

الْكَلِمَةُ ‌الْحِكْمَةُ ‌ضَالَّةُ ‌الْمُؤْمِنِ، حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا.

“Hikmah (kebijaksanaan) itu laksana barang yang tercicir kepunyaan orang yang beriman. Di mana-mana sahaja dijumpainya, maka dialah yang berhak mengambilnya.” [Hadis riwayat al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, no. 2687, dan Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Zuhd, no. 4169, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi Ibn Majah]

Firman Allah SWT:

فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرٗا يَرَهُۥ ٧ وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٖ شَرّٗا يَرَهُۥ ٨

“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walaupun seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya (balasannya). (7) Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walaupun sebesar zarah, nescaya dia akan melihatnya (balasannya) pula. (8)” [Surah al-Zalzalah: 7-8]

Maka, semua pihak menerima cadangan untuk mengubah perlembagaan ciptaan Suruhanjaya Reid daripada penjajah dengan menjadikan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, sementara agama-agama yang lain diberikan hak kebebasannya secara adil.
Selain itu, hak istimewa Melayu dan bumiputera juga turut dimasukkan dalam kepimpinan negara. Walaupun tidak dicatatkan secara rasmi, semangat ini diterima oleh semua pihak, kerana melihat kepada sejarah dan amalan Islam terhadap masyarakat majmuk yang mengekalkan hak kaum asal dan kedudukan dominasinya yang memelihara hubungan masyarakat majmuk.

Maka, sebarang pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan tidak boleh merosakkan konsep yang telah berjaya menjalinkan hubungan yang baik ini. Kita tidak boleh kembali semula kepada pendekatan salah yang telah dirancang oleh penjajah untuk melagakan kita sehingga mencetuskan krisis dalam hubungan antara masyarakat majmuk.

Ketahuilah bahawa pindaan yang dilakukan dengan tidak mengubah susunan masyarakat yang berpecah dan sistem ekonomi kapitalis penjajah yang masih menindas dalam keadaan jurang yang jauh berbeza antara kaum, akan menjadi laksana tikus membaiki labu yang merosakkan keharmonian masyarakat majmuk.

Maka, jangan melihat Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dari segi pembangunan kawasan perumahan, penyusunan bandar dari segi pembinaan bangunan yang indah, dan pembangunan tanah sahaja. Akan tetapi, hendaklah dilihat juga dari aspek kemampuan ekonomi semua kaum yang boleh mengikutinya yang belum diselesaikan.

Dalam keadaan jurang yang masih jauh antara kaum, akta ini boleh menjadikan kaum yang lemah dihalau lebih jauh ke luar bandar secara halus. Malah, hubungan kemasyarakatan yang lemah antara kaum akan menyebabkan berlakunya ketegangan, berpunca daripada adu domba yang dirancang oleh penjajah. Walaupun mereka sudah pulang ke negara mereka, tiba-tiba dijemput datang semula.

Perlu diperhatikan juga betapa negeri Malaysia Timur yang majoritinya terdiri daripada golongan bumiputera dan Pantai Timur yang majoritinya Melayu Islam dipinggirkan oleh penjajah dari segi kemudahan dan pembangunan ekonomi negara.

Pada masa yang sama, adanya suara-suara yang mahu menghapuskan kedudukan Islam serta hak istimewa Melayu dan bumiputera. Antaranya dengan mencadangkan agar diadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) atas nama demokrasi Barat yang banyak kelemahannya. Bahkan, di negara Barat yang paling besar dan kaya, sistem ini sedang merosakkan hubungan masyarakat majmuk dengan menjadikannya sangat rapuh, seterusnya dibiarkan reput.

Islam menggalakkan dialog berdasarkan konsep semua manusia adalah satu keluarga, bermasyarakat dan mempunyai ciri-ciri kemanusiaan. Hal ini demikian kerana, rujukan asal agama dan bangsa masing-masing mempunyai titik persamaan walaupun berbeza, serta boleh bertasamuh (bertoleransi) dalam perbezaan.

Penjajah pula menukar rujukan tersebut kepada rujukan para orientalis yang berniat jahat. Mereka ingin memesongkan kefahaman yang sebenar dengan mewujudkan salah faham antara agama melalui maklumat yang tidak adil, khususnya terhadap Islam yang telah berjaya.

Hakikatnya, Islam membawa pendekatan sepertimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ ١٢٥

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang paling baik. Sesungguhnya, (Tuhanmu) Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” [Surah al-Nahl: 125]

Maka, jangan diteruskan teori dan ideologi Barat yang nyata kegagalannya. Sebaliknya, cubalah merujuk Islam yang telah membuktikan kejayaannya dalam sejarah yang dilupakan. Jika semua kaum boleh menerima ideologi ciptaan Barat yang asing daripada mereka, mengapa tidak boleh mengkaji Islam yang pernah berjaya dilaksanakan dan lahir bersama mereka dalam segala aspek cara hidup manusia?

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 17 Rabi‘ al-Awwal 1447 / 10 September 2025