Home Minda Presiden

APA GUNA PEMIMPIN NEGARA ISLAM BERTEMU TRUMP?

2
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 67 / 2025]
APA GUNA PEMIMPIN NEGARA ISLAM BERTEMU TRUMP?


Dilaporkan oleh media bahawa para pemimpin beberapa negara Islam terpilih, termasuk negara Arab, bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengepalai Blok Barat yang mendukung Israel.

Adakah dia layak diajak bermusyawarah atau bertukar fikiran dalam usaha perdamaian yang dicadangkannya? Padahal dia juga mewakili semua pemimpin negara Blok Barat yang berpihak dan bersama Yahudi Zionis, yang terlibat secara langsung sejak penubuhan negara Israel dan membekalkan segala jenis persenjataan, termasuk senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa kepada negara Israel yang sedang melakukan jenayah kemanusiaan paling ngeri.

Amerika Syarikat dan sekutunya juga menggunakan kuasa veto bagi melindungi keganasan Israel yang telah diputuskan bersalah dan paling melampau keganasannya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mahkamah antarabangsa, dan segala pertubuhan kemanusiaan masyarakat dunia.

Adakah pertemuan itu sekadar mendengar khutbah Trump atau membawa mesej Islam yang kuat dan beristiqamah?

Adakah mereka yang mewakili umat Islam itu menerima cadangan perdamaian pihak Amerika Syarikat dan sekutunya, dengan syarat menubuhkan negara Palestin yang sekular serta tidak ada kedaulatan Islam dan umatnya yang tidak menjadi ancaman kepada Israel, berserta syarat melucutkan senjata pihak Islam?

Pemerintahan tanpa kedaulatan itu ditadbir oleh negara sekutu yang dilantik oleh mantan Perdana Menteri British, Tony Blair. Negara Arab dan Islam diminta menghantar tentera untuk menjadi pengaman kepada cadangan perdamaian yang nyata berpihak kepada Israel yang gagal menawan Gaza yang kecil.

Hanya Israel sahaja yang berhak memiliki senjata. Adapun pihak Palestin, negara Islam, termasuk jirannya, negara Arab menjadi penjamin kepada perdamaian tersebut supaya memenuhi syarat-syaratnya. Langkah tersebut adalah sama sebagaimana pada tahun 1948 bagi menyelamatkan negara haram Israel.

Apakah pendirian Malaysia yang telah menjemput Trump bagi menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ketika giliran Malaysia menjadi pengerusinya?
Pada masa yang sama, propaganda anti-Islam disebarkan dengan slogan bohong “Islam paling ganas”, dalam keadaan masyarakat antarabangsa menyaksikan kekejaman Israel, lalu mereka bersimpati kepada rakyat Palestin yang dibelasah dan mereka menunjukkan perubahan sikap kepada benci akan Zionis, sehingga menekan kerajaan masing-masing supaya mengiktiraf penubuhan negara Palestin.

Keadaan ini menjadikan Amerika Syarikat dan sekutunya mengambil langkah bagi menyelamatkan Israel yang gagal menghancurkan Gaza yang kecil dan menawannya.
Sirah Nabawiyyah dan para Khulafa’ al-Rashidin memberikan pengajaran yang tegas oleh Rasulullah SAW kepada kuasa besar pada zaman mereka dengan menyampaikan seruan Allah SWT:

قُلۡ يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ كَلِمَةٖ سَوَآءِۢ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَيۡـٔٗا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُولُواْ ٱشۡهَدُواْ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ ٦٤

“Katakanlah, ‘Wahai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dengan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita sekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah!’ Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka, ‘Saksikanlah, bahawa kami ialah orang-orang yang berserah diri kepada Allah (Islam).’” [Surah Ali ‘Imran: 64]

Kaum Yahudi dan Nasrani Zionis yang bersamanya ialah Ahli Kitab Taurat dan Injil yang asalnya dibawa oleh para anbiya’ dalam kalangan Bani Isra’il dan disambung oleh nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW yang sama keislamannya. Adapun mereka ialah Ahli Kitab yang telah menyeleweng dan sesat, maka wajib dibetulkan semula untuk kembali kepada petunjuk Allah yang dibawa oleh para anbiya’.

Seruan diteruskan oleh Rub‘i bin ‘Amir RA yang mewakili Panglima Sa‘ad bin Abi Waqqas RA, semasa menemui Panglima Rustum dari Empayar Parsi pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA yang wajib diteruskan oleh para pemimpin umat Islam yang setia kepada Islam dan penganutnya:

اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ، فَأَرْسَلَنَا بِدِينِهِ إِلَى خَلْقِهِ لِنَدْعُوَهُمْ إِلَيْهِ، فَمَنْ قَبِلَ ذَلِكَ قَبِلْنَا مِنْهُ وَرَجَعْنَا عَنْهُ، وَمَنْ أَبَى قَاتَلْنَاهُ أَبَدًا حَتَّى نُفْضِيَ إِلَى مَوْعُودِ اللَّهِ.

“Allah yang mengutus kami untuk menyelamatkan sesiapa yang mahu (tanpa paksaan) daripada perhambaan kepada sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah, daripada wawasan dunia yang sempit kepada keluasan dan kepanjangan wawasan dunia hingga akhirat, serta daripada kezaliman berbagai-bagai agama dan ajaran kepada keadilan Islam. Maka, Dia membangkitkan kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Oleh itu, sesiapa yang menerima, nescaya kami menerimanya dan berundur (pulang) meninggalkannya. Akan tetapi, sesiapa yang menolak (tidak mahu berdamai), nescaya kami sedia berperang selama-lamanya sehingga kami mencapai janji Allah.”

قَالُوا: وَمَا مَوْعُودُ اللَّهِ؟

Mereka bertanya, “Apakah janji Allah itu?”

قَالَ: الْجَنَّةُ لِمَنْ مَاتَ عَلَى قِتَالِ مَنْ أَبَى، وَالظَّفَرُ لِمَنْ بَقِيَ.

Rub‘i menjawab, “Syurga kepada yang mati terbunuh (syahid) kerana memerangi mereka yang bermusuh dan kemenangan kepada yang masih hidup.” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jld. 7, hlm. 39]

Inilah pendirian beristiqamah bersama Islam dan percaya kepada janji Allah SWT yang berfirman:

… وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠

“…Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” [Surah al-Hajj: 40]

Allah menetapkan bahawa berlaku perlawanan oleh pihak yang benar (Islam) menolak pihak yang salah dan sesat sehingga diwajibkan berperang. Allah juga menetapkan tidak paksaan dalam memeluk Islam serta membiarkan penganut pelbagai agama dan rumah ibadat mereka supaya diberikan kebebasan berfikir, bahawa Islam membawa penyelesaian dalam memimpin masyarakat antarabangsa dan negara yang majmuk.

Di samping itu, Allah SWT memerintahkan supaya umat Islam membuat persediaan dengan firman-Nya:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠ ۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahui mereka; sedangkan Allah mengetahui mereka. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan). (60) Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya, cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62)” [Surah al-Anfal: 60–62]

Allah memerintahkan supaya umat Islam membuat persediaan menentang musuh mereka dengan segala kekuatan dan peralatan mengikut kesesuaian zaman sekadar kemampuan bagi menentang musuh, khususnya musuh agama Allah dan umatnya, sehingga berperang dengan adil dan tidak melampaui batas. Perdamaian pula wajib diutamakan kerana tidak boleh memaksa dalam menganut Islam.

Umat Islam wajib meyakini janji Allah yang pasti akan memberikan kemenangan dunia dan akhirat sekiranya mereka ikhlas kerana Allah dan membuat persediaan dengan segala kemampuan. Perkara ini boleh berlaku dengan pertolongan Allah sekiranya mereka bersedia dan ikhlas. Firman Allah SWT:

… قَالَ ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَٰقُواْ ٱللَّهِ كَم مِّن فِئَةٖ قَلِيلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةٗ كَثِيرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ٢٤٩

“…Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah, berkata, ‘Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.’” [Surah al-Baqarah: 249]

Allah SWT memberikan amaran dalam al-Quran berulang kali. Firman Allah SWT:

إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡـٔٗاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ٣٩

“Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih dan Dia mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberikan kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [Surah al-Tawbah: 39]

Amaran ini adalah kepada para sahabat RA yang berbangsa Arab yang menerima Islam, sekiranya mereka tidak mahu meneruskan perjuangan, nescaya tidak akan memberikan apa-apa mudarat kepada Allah dan Islam. Kemudian, Allah akan menukar dengan para pemimpin yang lain daripada pelbagai bangsa yang menganut Islam dan melaksanakan kewajipan dengan penuh keimanan.

Ulama’ tafsir seperti Imam al-Qurtubi RH, Imam al-Razi RH, Imam al-Baghawi RH dan lain-lain meriwayatkan bahawa kaum yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah kaum Parsi dan penduduk Yaman.

Firman Allah SWT lagi:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Ma’idah: 54]

Ulama’ tafsir meriwayatkan, apabila turunnya ayat ini, pada masa itu hadirnya Abu Musa al-Ash‘ari RA dari Yaman. Maka, Rasulullah SAW bersabda:

هُمْ قَوْمُكَ يَا أَبَا مُوسَى، وَأَوْمَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ إِلَى ‌أَبِي ‌مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ.

“Mereka daripada kaummu wahai Abu Musa (al-Ash‘ari).” Lalu Rasulullah SAW meletakkan tangannya pada Abu Musa al-Ash‘ari.” [Hadis riwayat al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Kitab al-Tafsir, no. 3220]

Firman Allah SWT berikutnya:

هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah, maka antara kamu ada yang bakhil. Dan sesiapa yang bakhil, sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah Yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]

Allah memberikan amaran kepada kaum Arab sebagai golongan pertama yang mendapat kemenangan, harta, dan negeri Islam yang kaya-raya, tetapi bakhil menyumbang kepada perjuangan menegakkan Islam, nescaya Allah menukar mereka dengan kalangan pelbagai bangsa yang juga menganut Islam untuk mengambil alih perjuangan memenangkan Islam.

Firman Allah SWT lagi:

وَءَاخَرِينَ مِنۡهُمۡ لَمَّا يَلۡحَقُواْ بِهِمۡۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٣

“Dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Jumu‘ah: 3]
Disebut dalam beberapa kitab tafsir al-Quran dan hadis, bahawa ketika ayat ini dibaca, Abu Hurairah RA bertanya:

مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟

“Siapakah kaum itu, wahai Rasulullah?”

Rasulullah SAW tidak menjawab sehingga Baginda ditanya sebanyak tiga kali. Kebetulan di sisinya, ada Salman al-Farisi RA. Rasulullah SAW lalu menepuk paha atau meletakkan tangannya di atas jasad Salman sambil bersabda:

لَوْ ‌كَانَ ‌الْإِيمَانُ ‌عِنْدَ ‌الثُّرَيَّا، لَنَالَهُ رِجَالٌ، أَوْ رَجُلٌ، مِنْ هَؤُلَاءِ.

“Sekiranya iman (agama) itu berada di bintang Thurayya, nescaya ia dicapai oleh beberapa orang lelaki — atau seorang lelaki — daripada kaum mereka ini (Farsi).” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Qur’an, no. 4897, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab Fada’il al-Sahabah, no. 2546, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi al-Bukhari]
Bangsa Farsi atau Parsi memeluk Islam pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar RA dan terus bertahan dengan Islam. Walaupun menghadapi cabaran perpecahan umat Islam dan lahirnya berbagai-bagai ajaran dan kefahaman yang mencabarnya, Islam tetap bertahan sehingga kini.

Kini, hanya Iran, Yaman, Pakistan, Afghanistan, Algeria, kumpulan Islam, dan rakyat awam yang tampil ke hadapan membantu Palestin. Wallahua‘lam.

Mengikut Tafsir al-Manar pula, ayat tadi menunjukkan mana-mana bangsa yang menganut Islam perlu menunaikan kewajipan tersebut. Maka, semua penganut Islam daripada semua bangsa yang berada di tempat bumi berpijak ini wajib melayakkan diri untuk mempertahankan Islam.

Di sini menunjukkan bahawa cahaya Islam mustahil dipadamkan oleh semua kuasa besar dunia sepanjang zaman. Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Dialah (Allah) yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam), agar Dia memenangkannya atas segala agama, meskipun orang-orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]

Ayat ini secara tegas menunjukkan bahawa Islam mustahil dikalahkan, walau ada kalangan yang diamanahkan menjadi pemimpin mengecewakan dan ada yang melakukan pengkhianatan. Namun, Allah berjanji masih ada golongan yang meneruskan jihad bagi menegakkan Islam.

Umat Islam dan negaranya sedang diuji mengikut al-Quran petunjuk sepanjang zaman yang disebut dalam Surah al-Ahzab:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan Allah adalah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik menyesak sampai di tenggorokan dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hati mereka) dengan goncangan yang sangat. (11) Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12)” [Surah al-Ahzab: 9–12]

Pendirian Malaysia hanya dapat ditentukan dalam agenda jemputan kepada Presiden Donald Trump, adakah ia akan diteruskan atau dibatalkan?

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Rabi‘ al-Akhir 1447 / 30 September 2025