Home Rencana PAS Wilayah

Perjuangan Rakyat, Tidak Perlu Unsur Fiksyen

4
SHARE

Rukun Bai’ah Ke-7, At-Tajarrud mengajar kita bahawa dalam membawa perjuangan agama Islam mestilah suci pemikiran dan identiti dari sebarang unsur atau pengaruh selain daripada menuju Allah dan Rasul. Maka umat perlu diingatkan agar sentiasa bersihkan hati dan pemikiran dalam hendak mengangkat perjuangan demi kepentingan umat Islam.

 

Kita mesti pastikan dasar dan manhaj termasuk kaedah perjuangan menepati yang dikehendaki Allah dan Rasul serta tidak bercanggah dengannya. Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna menyebut dalam Risalah At-Ta’lim :

“Apa yang saya maksudkan dengan At-Tajarrud atau jati diri? At-Tajarrud atau jati diri ialah anda memberikan tumpuan sepenuhnya kepada fikrah atau gagasan anda (Islam) dan anda ketepikan semua prinsip dan tokoh lain selain daripada gagasan anda (Islam) kerana gagasan anda adalah yang paling mulia, paling lengkap dan paling tinggi.”

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 138:

 

صِبْغَةَ ٱللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبْغَةًۭ ۖ وَنَحْنُ لَهُۥ عَـٰبِدُونَ

 

Maksudnya: “Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam), dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah?”.

 

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Furqan ayat 17:

 

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَقُولُ ءَأَنتُمْ أَضْلَلْتُمْ عِبَادِى هَـٰٓؤُلَآءِ أَمْ هُمْ ضَلُّوا۟ ٱلسَّبِيلَ

 

“Dan (ingatlah) suatu hari (ketika) Allah menghimpunkan mereka berserta apa yang mereka sembah selain Allah, lalu Allah berkata (kepada yang disembah): “Apakah kamu yang menyesatkan hamba-hamba-Ku itu, atau mereka sendirikah yang sesat dari jalan (yang benar)?”

 

Ayat dari surah al-Furqan ini menceritakan kepada kita bahawa di padang mahsyar kelak sebelum manusia dimasukkan ke syurga atau neraka, Allah SWT akan menghimpunkan manusia dengan sembahan-sembahan mereka. Lalu Allah SWT bertanya kepada yang disembah atau dijadikan ikutan manusia semasa hidup dulu sepertimana diceritakan dalam ayat.

 

Al-marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah menghuraikan yang dimaksudkan sebagai mengikut atau menjadikan tuhan ini bukan hanya bermaksud dari sudut penyembahan zahir semata-mata. Tetapi termasuk dalam maksud ayat ini sekiranya kita menjadikan sesuatu selain dari Allah dan Rasul sebagai ikutan dalam hidup secara maknawi.

 

Contohnya seperti mengejar kekayaan hidup hingga abaikan perkara wajib dan menjadikan artis idola dalam gaya hidup kelalaian.

 

Hari ini kita melihat ada orang yang mula mengangkat logo atau watak fiksyen kerana mengambil inspirasi daripada kisah watak tersebut yang cuba disamakan dengan hala tuju kepada perjuangan umat. Walhal, kita kena sedar bagaimanapun kisah fiksyen ini memberikan sentuhan kepada perasaan kita, walau sehebat manapun, ia tetap cerita dongeng dan watak tak nyata serta tak wujud.

 

Kisah dan apa yang diceritakan tidak lain hanyalah sebuah rekaan imaginasi manusia yang tidak menghadapi realiti kekerasan hidup di dunia sebenar. Umat Islam sudah ada watak inspirasi terulung lagi agung bahkan nyata dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT dan segala kepentingannya.

 

▪️Peristiwa Pemulauan Bani Hashim & Bani Muttalib

 

Sirah Nabawiyyah menceritakan bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat menghadapi musyrikin quraisy Mekah sebelum peristiwa hijrah. Sejak bermulanya dakwah baginda secara terbuka, tidak kurang 13 tahun baginda bersama para sahabat menghadapi tekanan pelbagai aspek dari musuh yang merupakan kelompok berkuasa di Mekah pada ketika tersebut.

 

Antara peristiwa yang pernah melanda Rasulullah SAW dan sahabat ialah peristiwa dipulaukan oleh pembesar Arab Quraisy selama TIGA TAHUN. Selama tempoh tiga tahun itu mereka dipindahkan ke sebuah kawasan sempit dan terpencil bernama Shi’b Abi Talib.

 

Bekalan makanan terputus sehingga mereka yang dipulau terpaksa makan dari dedaun kering dan kulit haiwan untuk alas perut. Ada sahabat yang membawa masuk makanan secara sembunyi namun dalam keadaan yang berisiko tinggi.

Apa yang dibuat Rasulullah SAW dan para sahabat dalam tempoh terseksa tersebut? Rasulullah SAW terus komited menyampaikan mesej dakwah Islam kepada manusia serta tekun beribadah dan bermunajat kepada Allah SWT dengan pelbagai pendekatan sehingga menarik hati masyarakat untuk terima dan bersama menyokong Rasulullah SAW.

 

Sehinggalah taqdir Allah SWT berlaku di mana munculnya 5 orang dari kalangan quraisy yang berhati perut mula membantah supaya pemulauan dihentikan ke atas Bani Hashim dan Bani Muttalib.

 

Sirah ini mengajar kita dalam menghadapi tekanan pihak berkuasa yang zalim, maka kita sepatutnya semakin mengukuhkan pendirian dan menetapkan iman. Bukan bersandar pada selain itu apatah lagi yang tak nyata dan tak wujud. Bertahan sehingga taqdir Allah tiba sama ada menang atau sebaliknya.

 

▪️Bagaimana Sultan Muhammad Al-Fatih Mendapat Namanya

 

Kisah pembukaan kota Konstantinopel 847 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW juga merupakan kisah cukup hebat untuk diambil sebagai inspirasi perjuangan hari ini. Bagaimana seorang yang cukup muda berjaya memimpin sebuah Kerajaan Islam sehingga membuka Kota Konstantinopel pada umur 21 tahun.

 

Lahir dan terbentuknya jatidiri anak muda Islam yang berkualiti tinggi begini tidak lain tidak bukan hasil kesedaran bapa beliau, Sultan Murad II yang mentarbiyah beliau sejak dari kecil dengan kelengkapan jatidiri muslim yang cukup mantap. Dengan kombinasi iman, ilmu dan keberanian, Sultan Muhammad Al-Fatih tampil dengan cita-cita besar untuk perjuangan ummah untuk membuka Kota Konstantinopel sejak kecil lagi.

 

Peristiwa dalam Sejarah umat Islam sebegini sudah cukup sempurna, lengkap lagi nyata untuk dijadikan rujukan ummah dalam memimpin solidariti dan perjuangan Islam pada hari ini. Ketika kita hendak bangkit berjuang mengangkat suara umat agar Palestin dibebaskan dan melawan kezaliman zionis, maka kita tidak perlukan kepada sebarang unsur yang tidak nyata dan tidak merasai pun kesakitan sebenar kehidupan alam nyata kita ini.

 

Ini juga selaras dengan teks khutbah terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bahawa perjuangan membela saudara kita di Palestin bukan sekadar perjuangan politik dan kemanusiaan, tetapi ia merupakan tuntutan akidah dan suara iman yang benar. Apabila menunaikan solidariti bersama perjuangan umat ini, ia menjadi ibadah di sisi Allah SWT. Justeru, perjuangan atas dasar akidah ini perlu dipelihara daripada unsur dan pengaruh benda lain apatah lagi benda dongeng.

 

Kita juga perlu berhati-hati dengan sebarang unsur luar yang cuba menempel dengan perjuangan ummah ini kerana dibimbangi membawa agenda atau propaganda tersendiri. Akhir sekali menjadi sebab tercetus kekeliruan ummah atau kekhilafan yang tak kita ingini dalam situasi semasa ummah hari ini.

 

Justeru, marilah kita ajak seluruh saudara kita yang bersama dengan perjuangan rakyat Palestin ini agar sama-sama kita perbaharui dan perbetulkan niat, hati dan fikiran. Agar segala usaha susah senang, pengorbanan masa, jiwa dan tenaga tidak menjadi sia-sia kerana mengikutkan perkara yang Allah SWT tak iktiraf sehingga apabila kita bawa amalan kita berada di barisan hadapan himpunan di akhirat kelak, bimbang hanya akan tak diterima Allah SWT.

 

MUHAMMAD SYAZWAN SYAMIL BIN MOHD RAZMAN

PENGARAH AKADEMI TARBIYAH DPPWP.