Home Berita PAS Terengganu

360 Keluarga lega, TDM hadir ringankan beban hidup

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 360 keluarga asnaf dari 24 kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menghela nafas lega apabila menerima manfaat melalui Program TDM Bersama Masyarakat anjuran TDM Berhad (TDM), anak syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu, sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md. Fauzi berkata, bantuan yang diberikan merangkumi wang tunai, barangan keperluan asas dan pengisian kerohanian seperti tazkirah dhuha.

“Inisiatif ini tanda kasih sayang untuk meringankan beban rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup.

“Pada masa sama, ia mengeratkan hubungan antara sektor korporat dengan masyarakat,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha sebegini memberi kelegaan kepada golongan terkesan, selain memupuk nilai prihatin dan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, program tersebut selaras dengan aspirasi syarikat untuk terus memberi impak positif kepada rakyat Terengganu.

“Tujuan utama kami adalah berkongsi rezeki, membantu mereka yang memerlukan dan meningkatkan kesejahteraan sosial.

“Sejak dilancarkan, program ini menjadi jambatan memperkukuh jaringan sosial dengan kerjasama agensi kerajaan seperti MAIDAM dan Pusat Khidmat Masyarakat Sura.

“Malah, inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan dan memperbaiki kualiti hidup golongan asnaf,” jelasnya.

Beliau menambah, program itu akan diperluas secara berperingkat ke seluruh 32 DUN di Terengganu agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat jangka panjang, selaras dengan hasrat kerajaan negeri melalui GLC untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela.