KUALA TERENGGANU – Terengganu mengetengahkan suasana keagamaan, nilai kekeluargaan dan keindahan alam semula jadi sebagai tarikan utama pelancongan, bukan sahaja kepada penduduk tempatan malah juga pelancong luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, keunikan Terengganu dapat dilihat pada kehidupan seharian masyarakat Islam yang mampu menjadi pengalaman berharga buat pelancong.
Katanya, kerajaan negeri turut mengadakan pelbagai program untuk menghidupkan suasana agama.
“Antaranya program berskala kecil anjuran badan bukan kerajaan (NGO), serta program utama anjuran kerajaan negeri.
“Sekali gus, menampilkan tokoh agama terkenal seperti Ustaz Azhar Idrus, Datuk Dr Zulkifli al-Bakri, Ustaz Mad Kecik serta ramai lagi,” katanya kepada Radio Molek FM baru-baru ini.
Razali berkata, sebagai contoh, kerajaan negeri baru-baru ini menganjurkan majlis perkahwinan perdana di semua daerah dengan kos ditanggung sepenuhnya.
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja membantu pasangan muda, malah menjadi langkah pencegahan gejala sosial.
Tambahnya lagi, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu mempunyai lebih 12 masjid dan 30 surau yang sentiasa aktif dengan pelbagai aktiviti.
“Inilah suasana yang kita mahu pelancong rasai, selain keindahan 244 kilometer pantai dari Kemaman hingga Besut
“Gabungan suasana rohani, nilai kekeluargaan dan keindahan alam menjadikan Terengganu kekal sebagai negeri paling bahagia di Malaysia.
“Saya mengalu-alukan semua penggiat pelancongan dan pihak media untuk datang melihat sendiri keunikan tersebut agar lebih ramai memilih Terengganu sebagai destinasi utama,” ujarnya.