KUALA TERENGGANU – Beberapa jalan utama di sekitar daerah Kuala Terengganu akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada penganjuran Jelajah Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTDL) 2025, pada 1 Oktober ini (Rabu).
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Wan Mohd Zaki Wan Ismail, penutupan itu bagi memastikan kelancaran peringkat keempat kejohanan berprestij tersebut yang bermula di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu sebelum berakhir di Kemaman.
“Penutupan akan bermula jam 9.30 pagi dengan laluan konvoi pelumba dijangka melalui kawasan ini sekitar jam 10 pagi.
“Laluan yang terlibat ialah Dataran Batu Buruk, Jalan Sultan Mahmud, Jambatan Kuala Ibai, Chendering dan Sempadan Marang.
“Semua jalan akan dibuka semula setelah konvoi selesai melintasi kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan.
Tambahnya lagi, pengguna jalan raya juga diminta mematuhi arahan anggota polis yang bertugas sepanjang laluan perlumbaan demi menjamin keselamatan pelumba, penonton serta masyarakat setempat.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Terengganu di talian 09-6322243.