KUALA NERUS – Pendaftaran pelajar baharu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sesi 2025/2026, semalam bukan sahaja membuka lembaran dunia baharu kepada para penuntut, tetapi juga menyingkap wajah mesra universiti berkenaan dalam menyantuni kedatangan mereka ke sana.
Antara usaha yang dilakukan UMT menerusi Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) ialah mengadakan R&R (Rehat dan Rawat) @Masjid UMT.
Menurut Ketua PISM, Dr Kasyfullah Abdul Kadir, pelbagai kemudahan ditawarkan sebagai satu bentuk penghormatan kepada tetamu yang hadir ke UMT.
“Penganjuran R&R @Masjid UMT bertujuan menyantuni para ibu bapa dan menyambut pelajar baharu ke UMT selain meringankan beban keluarga dengan kemudahan yang disediakan.
“Usaha ini menjadikan masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga pusat kebajikan dan ukhuwah.
“Kami mahu pelajar dan ibu bapa merasai bahawa mereka diraikan, diberi perhatian dan disambut dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Tambahnya, antara kemudahan yang disediakan ialah sarapan pagi percuma, makan tengah hari percuma, minuman serta kudapan ringan, di samping ruang rehat, ruang solat dan tandas yang selesa.
Selain menyediakan keperluan asas, program yang dianjurkan turut menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara warga masjid, pelajar dan keluarga.
Ia juga memperlihatkan peranan masjid sebagai pusat komuniti kampus yang hidup dan dinamik, serta membina masyarakat kampus yang harmoni, berakhlak dan sejahtera.
Melalui reaksi balas yang diterima di kalangan ibu bapa yang hadir, PISM merakamkan sekalung penghargaan kepada semua penyumbang serta berharap agar inisiatif berkenaan dapat diteruskan serta diperkasakan pada masa akan datang.