KUALA TERENGGANU – Keunikan utama Hospital Mesra Ibadah (HMI) di bawah syarikat Kerajaan Negeri, TDM Berhad melalui anak syarikatnya, KMI Healthcare Sdn. Bhd. ialah pelantikan pegawai agama khusus serta kakitangan terlatih bagi membimbing pesakit dari aspek kerohanian, selain rawatan moden yang disediakan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, pegawai agama tersebut berperanan memberi bimbingan ibadah seperti solat, berdoa bersama pesakit dan keluarga, selain menjadi rujukan kepada mereka yang ingin mendapatkan panduan berkaitan amalan keagamaan ketika menerima rawatan.
“Pesakit bukan sahaja mendapat kemudahan asas seperti sejadah, al-Quran atau arah kiblat, tetapi turut dibimbing secara langsung oleh ustaz yang akan melawat dan memberi sokongan kerohanian.
“Inilah perbezaan utama yang menjadikan hospital kami benar-benar mesra ibadah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Hospital Mesra Ibadah KMI Healthcare di KMI Kuala Terengganu Medical Centre, semalam.
Dr. Rayney menegaskan, KMI komited menjadikan semua hospital di bawah naungannya sebagai Hospital Mesra Ibadah sebelum dinaik taraf kepada Hospital Patuh Syariah menjelang tahun hadapan.
“Hospital baharu yang sedang dibangunkan di Chukai, Terengganu dan Bertam, Pulau Pinang juga dibina sepenuhnya dengan konsep ini.
“Projek di Bertam sudah bermula dengan kemajuan sekitar lima peratus, manakala di Kemaman kini dalam proses kebenaran merancang. Insya-Allah, dalam tempoh tiga tahun ia dijangka mula beroperasi,” jelasnya.
Menurut beliau, ciri paling utama dalam konsep hospital patuh Syariah adalah memastikan semua urusan berlandaskan prinsip Islam, meliputi rawatan, operasi, bekalan ubat-ubatan sehinggalah kepada kaedah perniagaan dan pinjaman bank.
“Keseluruhan urusan akan dipastikan halal, telus dan tiada unsur haram. Prinsip Islam seperti amanah, integriti dan kejujuran menjadi asas kepada pengurusan hospital,” katanya.
Dr. Rayney turut menegaskan bahawa meskipun memberi keutamaan kepada kemudahan ibadah umat Islam, hospital KMI tetap terbuka kepada semua masyarakat.
“Kita juga menyediakan bilik khas atau quiet room untuk bukan Islam menunaikan amalan kerohanian mengikut kepercayaan masing-masing. Hospital ini bukan hanya untuk orang Islam, tetapi untuk semua,” ujarnya.
Beliau optimis usaha ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada pesakit Muslim yang mementingkan aspek ibadah, tetapi juga akan menarik minat pesakit bukan Islam yang menghargai nilai amanah, integriti dan kejujuran yang diterapkan.