Home Berita PAS Terengganu

‘Perlu Kelulusan PBT Sebelum Buat Apa-apa’ – Exco Tegur Syarikat Swasta

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menegaskan bahawa mana-mana syarikat perlu mendapatkan kelulusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang kerja atau pemasangan struktur di tapak mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemasangan palang parkir automatik di Pulau Warisan baru-baru ini jelas dilakukan tanpa sebarang kebenaran daripada MBKT.

“Semua benda-benda yang melibatkan perkara-perkara yang seperti itu, projek-projek ataupun kerja-kerja seperti itu perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya.

“Dalam bahasa mudah, tidak boleh sesenang-senangnya untuk pasang palang atau apa sahaja tanpa kebenaran MBKT,” katanya.

Wan Sukairi

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Balai Besar Sejahtera, Dungun, di sini, hari ini.

Tambah Wan Sukairi, tindakan segera telah diambil MBKT sebaik sahaja menerima maklumat berhubung isu tersebut dengan menyita palang terbabit dalam tempoh beberapa jam selepas aduan diterima.

Katanya, walaupun tapak terbabit berada di bawah pajakan sebuah syarikat, ia tetap tertakluk kepada undang-undang pihak berkuasa tempatan.

“Pemilik pajakan dinasihatkan untuk merujuk dan membuat permohonan kepada MBKT terlebih dahulu.

“Hanya selepas mendapat kelulusan, barulah pihak majlis akan menilai sama ada sesuatu projek boleh diteruskan atau sebaliknya,” jelasnya.

Isu berkenaan menjadi perhatian selepas pemasangan palang automatik di Pulau Warisan, Kuala Terengganu tular di media sosial yang lalu sebelum MBKT mengambil tindakan penguatkuasaan.

Menurut MBKT dalam satu kenyataan, perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).