Home Berita PAS Terengganu

2,766 Rumah SPNB Siap Dibina

5
SHARE

KEMAMAN – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM504 juta bagi pembinaan 5,450 buah Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di seluruh negara, tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, setakat Ogos lalu, sebanyak 2,766 unit rumah telah siap dibina, 1,310 unit sedang dalam pembinaan manakala 1,374 unit lagi sedang dalam proses untuk diserahkan kepada kontraktor.

“Sejak SPNB diletakkan dibawah seliaan KPKT pada 2018, usaha penyelarasan inisiatif perumahan rakyat menjadi lebih bersepadu dan berkesan dan sehingga kini, sebanyak 73,167 unit RMR telah siap dibina di seluruh negara.

“RMR yang dilengkapi tiga bilik ini bernilai RM75,000 yang mana kita memberikan subsidi RM20,000 untuk setiap rumah yang dibina dan pemilik hanya perlu membayar kira-kira RM300 sebulan dalam tempoh 16 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat kepada 11 pemilik dan Sijil Penghargaan kepada sembilan kontraktor di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Baru di Kemasik, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.

Menurut Aiman Athirah, program RMR merupakan komitmen kerajaan dalam menyediakan perumahan kepada rakyat yang berpendapatan RM5,000, dengan syarat pemilik memiliki tanah.

Katanya, sehingga Julai, SPNB mererima sebanyak 182,208 permohonan untuk program RMR.

“Daripada jumlah itu, 117,000 adalah permohonan yang telah lengkap dan 73,354 telah diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.

“Sebanyak 65,000 permohonan lagi dalam proses pendaftaran serta semakan sebelum disenaraikan untuk kelulusan,” katanya.

Sementara itu, Wan Sukairi berkata, Kerajaan Negeri Terengganu akan terus memainkan peranan dengan penuh komitmen dan berkesan dalam menjalin kerjasama erat bersama SPNB bagi memastikan kesejahteraan rakyat melalui peluang memiliki rumah sendiri.

“Terima kasih buat SPNB yang sentiasa memberi komitmen dalam meyediakan rumah berkualiti dan mampu milik buat rakyat di Terengganu.

“Sehingga 31 Ogos lalu, SPNB telah menyiapkan 10,254 unit RMR di negeri ini dan secara keseluruhan 72,167 unit di seluruh negara,” ujarnya.

Beliau mengharapkan, dengan adanya rumah ini, para penerima dapat menikmati kehidupan lebih selesa, sejahtera dan terus membina masa depan yang lebih baik bersama keluarga.