Home Berita PAS Terengganu

182 Unit Rumah Realisasi Harapan Penduduk Rantau Abang

6
SHARE

DUNGUN –Sebanyak 182 unit Rumah Mampu Milik (RMM) yang sedang dibina di Balai Besar, Dungun bakal memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.

Projek berkenaan melibatkan 128 unit RMM Jenis A dengan harga bermula RM90,000 dan 54 unit RMM Jenis B dengan harga bermula sekitar RM185,000.

Selain kediaman, kawasan perumahan itu juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti taman permainan serta kedai setingkat demi keselesaan dan kesejahteraan para penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkilfli ketika berucap pada majlis pecah tanah projek itu berkata, pembinaan RMM bukan sahaja menyediakan tempat berteduh, bahkan mampu mencorak masa depan yang lebih stabil dan sejahtera kepada rakyat yang bakal menerima manfaatnya.

“Rumah Mampu Milik ini bukan sekadar projek fizikal, tetapi ia membawa harapan, memberi keyakinan dalam membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat.

“Inilah bukti kesungguhan kita dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.

Projek itu telah bermula pada 12 Januari 2025 dan dijangka siap pada 10 Mei 2028.

Mohd Fadhli turut menzahirkan doa dan harapan agar pembangunan tersebut berjalan lancar serta memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat di DUN Rantau Abang.