Oleh : HABSAH ALI
KUANTAN, 27 Sept – Pengalaman Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) Pahang dalam menguruskan perjalanan institusi pendidikan Islam serta melahirkan Naqibat yang berilmu menjadi inspirasi dan rujukan kepada APSA Terengganu, yang dijadualkan beroperasi pada Februari 2026.
APSA Pahang telah menerima rombongan APSA Terengganu di Pejabat PAS Kawasan Kuantan di sini semalam.
Pengarah APSA Pahang Ustazah Norzilah Husin ketika berkata, pertemuan tersebut memberi ruang kepada rombongan APSA Terengganu untuk menimba pengalaman serta mendengar pembentangan mengenai pengurusan APSA Pahang yang telah melalui pelbagai fasa sejak penubuhannya.
Menurutnya, pertemuan berkenaan sekali gus membuka peluang perkongsian ilmu dan strategi bagi memperkasa pendidikan Islam di peringkat negeri.
Tambah beliau APSA Pahang masih belum mempunyai penempatan tetap, sebaliknya menyewa di beberapa lokasi sekitar Temerloh dan Kuantan mengikut kesesuaian masa. Namun, beliau optimis usaha ke arah mendapatkan bangunan sendiri akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.
“Insya-Allah, dengan izin Allah dan sokongan semua pihak, APSA Pahang akan terus berkembang sebagai pusat ilmu yang mampu melahirkan Naqibat berilmu serta berdaya kepimpinan,” katanya.
Rombongan dari Terengganu diketuai oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, To’ Puan Zarani Othman berkata pengalaman APSA Pahang sangat berharga kerana dapat dijadikan rujukan untuk memastikan pelaksanaan APSA Terengganu berjalan lancar.
“Hasil perbincangan dan pembentangan banyak memberikan input berguna kepada kami. Segala pengalaman APSA Pahang sejak awal penubuhan hingga kini amat bernilai sebagai panduan,” katanya.
Rombongan dari Terengganu diketuai To’ Puan Zarani Othman bersama Pengarah APSA Terengganu, Ustazah Asma’ Abdullah serta barisan jawatankuasa pengurusan. Turut hadir bagi pihak tuan rumah ialah Pegawai Tadbir APSA Pahang, Nuur Afifah Ramdan serta AJK APSA Pahang.
Majlis turut diserikan dengan sesi bergambar, penyampaian cenderamata serta lawatan ke tempat pengajian APSA Pahang, memberi peluang kepada para tetamu menyaksikan pelajar sedang menimba ilmu.