Home Berita PAS Terengganu

Sultan Mizan Berkenan Lancar CEFORE, Lembaran Baharu Tenaga Boleh Diperbaharui

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus melakar sejarah apabila melancarkan Centre for Offshore Renewable Energy (CEFORE), pusat penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang tenaga boleh diperbaharui yang dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat dan komuniti setempat.

CEFORE lahir hasil kerjasama strategik antara UMT dan PETRONAS, gabungan kepakaran akademik dan industri yang diyakini mampu memacu peralihan tenaga negara ke arah lebih lestari.

Majlis perasmian yang berlangsung pada hari ini disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha UMT bersama PETRONAS memperkukuh agenda tenaga hijau negara.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Naib Canselor UMT, Prof Ir. Ts. Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, Terengganu mempunyai kelebihan dari sudut geografi dan sumber semula jadi, khususnya aliran angin yang berterusan.

“CEFORE bukan sekadar pusat penyelidikan, tetapi platform Industry on Campus yang menghubungkan pelajar, penyelidik dan rakan industri untuk menghasilkan penyelesaian praktikal kepada cabaran tenaga negara,” katanya.

Menurut beliau, CEFORE akan memberi fokus kepada tenaga baharu seperti angin, ombak, arus pasang surut, solar terapung, hidrogen hijau serta teknologi penyimpanan tenaga.

“Pusat ini juga berperanan sebagai fasiliti Proof of Operation untuk menguji keberkesanan sistem dalam keadaan operasi sebenar dari segi prestasi, keselamatan dan kebolehpercayaan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen PETRONAS menyokong aspirasi negara mempercepatkan peralihan tenaga.

“Dengan kepakaran penyelidikan UMT, CEFORE mampu menjadi pemangkin pembangunan tenaga boleh diperbaharui sekali gus mengangkat kedudukan Malaysia dalam transformasi tenaga hijau di rantau ini.

“Lebih penting, ia bukan sahaja menyumbang kepada matlamat neutral karbon negara, malah membawa manfaat nyata kepada komuniti tempatan,” katanya.

Dalam masa sama, UMT turut mengumumkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan pengambilan pertama seramai 40 pelajar bermula Oktober ini.

Kewujudan CEFORE bukan sahaja memperkukuh penyelidikan, malah dijangka memberi kesan sosioekonomi positif kepada penduduk sekitar termasuk nelayan melalui pemindahan ilmu, pembangunan modal insan serta peluang edu-pelancongan.

UMT optimis CEFORE akan menjadi pemangkin kepada sasaran negara mencapai neutral karbon menjelang 2050 serta mengangkat Terengganu sebagai hab kecemerlangan tenaga lestari serantau.