KUALA NERUS – Kontinjen Kuala Terengganu merampas tahta kejuaraan Sukan Terengganu (SUTERA) 2025 apabila mengumpul 37 pingat emas, 21 pingat perak dan 13 gangsa dengan keseluruhan 71 pingat, dalam temasya yang berakhir hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Kuala Terengganu kembali mencipta ‘perseteruan’ dengan Kuala Nerus setelah kali terakhir muncul juara SUTERA edisi pertama pada tahun 2019.
Kuala Terengganu membawa pulang piala kejuaraan dan hadiah wang tunai RM75,000.
Juara edisi lalu, Kuala Nerus pula sekadar berada di tempat kedua walaupun berjaya mengutip jumlah pingat yang sama (71 pingat) menerusi 20 emas, 29 perak dan 22 gangsa.
Kontinjen berkenaan membawa pulang piala dan hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.
Dalam majlis penutup SUTERA yang dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia itu, tempat ketiga keseluruhan dinobatkan kepada kontinjen daerah Kemaman yang menerima hadiah piala dan wang tunai RM25,000.