Home Berita PAS Terengganu

Karnival Berakit 5.0 Hidupkan Warisan Sungai & Semangat Patriotisme

4
SHARE

HULU TERENGGANU – Hampir 250 peserta dari empat mukim menyemarakkan Karnival Berakit 5.0 yang berlangsung di Dataran Sheikh Abdul Qahar, Kampung Dusun, bermula 25 hingga 27 September hari ini.

Acara penuh warna-warni itu menampilkan ekspedisi rakit sejauh 12 kilometer dari Kampung Dusun ke Kampung Buluh yang mengambil masa hampir dua jam, selain pelbagai aktiviti berteraskan budaya dan warisan masyarakat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’  Ariffin Deraman berkata, program yang mula dimasukkan dalam kalendar sejak 2019 itu bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan, malah menghidupkan kembali nostalgia rakit serta menyelami pengorbanan generasi terdahulu mempertahankan tanah air.

“Selain menghargai keindahan sungai, karnival ini juga mengeratkan hubungan masyarakat. Semangat gotong-royong dan kebersamaan inilah yang ingin kita warisi.

“Sungai bukan sahaja dilihat sebagai sumber ekonomi tambahan masyarakat, malah kini menjadi simbol kebersamaan serta warisan yang wajar dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan program Karnival tersebut di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahida dan ADUN Telemong, Zawawi Ismail.

Program tiga hari tersebut merupakan cetusan idea Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah, Polis, Bomba dan agensi-agensi berkaitan.

Antara pengisian lain ialah sukan tradisional, demonstrasi masakan, pertunjukan ayam jangok serta persembahan kebudayaan yang menambah seri karnival rakyat itu.