Home Berita PAS Terengganu

Jalan Batu Rakit Runtuh 99 Peratus Siap Dibaiki

6
SHARE

KUALA NERUS – Projek pembaikan jalan di Kampung Tanjung, Batu Rakit yang rosak akibat hakisan kini hampir siap sepenuhnya apabila mencapai tahap 99 peratus kemajuan pembinaan.

Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Fasiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Hanafiah Mat ketika ditemui dalam satu lawatan ke tapak kerja pembaikan jalan di Kampung Tanjung, Batu Rakit.

Beliau berkata, kerja pembinaan 16 unit benteng pemecah ombak (breakwater) di kawasan berkenaan turut menunjukkan kemajuan positif dengan 13 unit daripadanya telah mencapai kira-kira 47 peratus pembinaan.

“Kita dapat lihat di kawasan Jalan Kampung Tanjung, kerja-kerja pembinaan kini hampir 99 peratus siap dan dijangka diserahkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 7 Oktober ini.

“Bagi projek benteng pemecah ombak (breakwater) pula, sebanyak 13 daripada 16 struktur telah siap dibina, dengan kemajuan keseluruhan sekitar 47 peratus.

“Saya berharap menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan November ini, projek ini dapat memberi perlindungan sekali gus menyelamatkan kawasan yang sebelum ini sering terjejas teruk akibat hakisan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kerja Raya, Anuar Mohd Azlan, Jurutera Daerah Jabatan Perparitan Dan Saliran (JPS) Kuala Nerus, Ir. Aisyah Abu Bakar serta Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.

Dalam pada itu, Hanafiah juga mencadangkan langkah tambahan bagi mengukuhkan kawasan pesisir berhampiran, termasuk cadangan menambah pasir di beberapa kawasan tumpuan penduduk.

“Selain itu, saya telah mencadangkan agar kawasan hadapan Kedai Pok Nong, atau sedikit ke hadapan berhampiran Warung Adik-Beradik, ditambah dengan lapisan pasir yang sesuai.

“Langkah ini diharap dapat memberikan perlindungan tambahan dan memastikan kawasan tersebut lebih selamat menjelang musim monsun kali ini, insya-Allah,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, beliau menegaskan bahawa projek berkenaan, buat masa ini telah dilaksanakan mengikut perancangan asal tanpa sebarang tambahan kos.

“Dan rumah biru ni pun nampaknya tidak kritikal mana dah”, katanya merujuk kepada keadaan terkini sekitar banglo biru selepas hampir roboh akibat hakisan teruk yang mula berlaku pada awal tahun ini.