Home Berita PAS Terengganu

RM500 Juta Baiki Paip Kritikal, Pelarasan Tarif Demi Kelangsungan Bekalan Air

7
SHARE

KUALA TERENGGANU – Syarikat Air Terengganu (SATU) memerlukan kos setinggi RM500 juta bagi kerja pembaikan dan penggantian jajaran paip usang dan kritikal di seluruh negeri, sebagai usaha memastikan kelangsungan bekalan air kepada rakyat  terus terjamin.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, pelarasan tarif air awal yang dilaksanakan pada 2022 selepas 27 tahun tidak pernah disemak.

Katanya, sambungan pelarasan Ogos 2025 (TSM TP2) adalah langkah penting bagi menampung sebahagian kos tersebut serta memastikan operasi bekalan air terus lestari dan tidak terjejas.

“Daripada keseluruhan 8,600 kilometer jajaran paip di Terengganu, kira-kira 1,300 kilometer adalah paip AC (asbestos cement) yang usang dan telah melebihi jangka hayat.

“Daripada keseluruhan 1,300 paip AC tersebut hampir 580 kilometer di 130 lokasi telah dikenal pasti sebagai paip kritikal dan perlu ditukar segera.

“Kos ini perlu ditanggung Kerajaan Negeri dan SATU, dan tanpa pelarasan tarif adalah mustahil untuk menampung kos penggantian paip, penyelenggaraan serta operasi harian selepas semua kos bahan meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ujar Abdul Karim, untuk tahun ini sahaja, kos penyelenggaraan dianggarkan sekitar RM50 juta, manakala hampir 40 peratus daripada keseluruhan kos operasi melibatkan kos tenaga elektrik, iaitu sekitar RM70 hingga RM80 juta setahun.

“Kenaikan tarif elektrik bermula Julai 2025 serta peluasan skop SST lapan peratus telah menambah kira-kira 10 peratus dan lapan peratus kepada kos operasi SATU,” jelasnya.

Menurutnya lagi, SATU telah melaksanakan pelbagai pelaburan besar bagi menyelesaikan isu bekalan air di beberapa daerah.

“Sebagai contoh, di Marang sahaja SATU membelanjakan RM64 juta untuk mengatasi masalah tekanan rendah dan ketiadaan air, dan alhamdulillah banyak masalah telah berjaya diselesaikan terutama ketika musim perayaan dan cuti umum,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan apabila SATU turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan.

Antaranya kata beliau, ialah pemberian subsidi 20 meter padu air pertama  kepada hampir 12,000 pengguna dengan kos RM1.4 juta, selain bekalan percuma kepada 2,152 masjid dan surau yang melibatkan kos RM1.02 juta.

“Langkah ini menjadikan Terengganu adalah negeri di Malaysia yang menyediakan subsidi air percuma melalui syarikat air negeri kepada institusi agama,” tambahnya.

Jelas SATU lagi, pihaknya memahami kebimbangan pengguna berhubung bil air, sehubungan dengan itu Abdul Karim memohon rakyat agar membuat semakan atau pertanyaan bagi sebarang kemusykilan kepada pihaknya.