Home Berita PAS Terengganu

Malaysia Book of Records: 12,275 Pokok Gelam ditanam di Setiu Wetlands

5
SHARE

SETIU – Festival Setiu Wetlands 2025 melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mencatat pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records (MBOR)’ bagi penanaman terbesar pokok Gelam di Tasik Berombak, Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata sebanyak 12,275 pokok Gelam telah berjaya ditanam.

Katanya, ia hasil kerjasama strategik antara Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN), Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Benua Hijau Sdn. Bhd. Serta pelbagai rakan strategik lain.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Terengganu, malah mengangkat Setiu Wetlands sebagai destinasi eko-pelancongan berimpak tinggi yang menggabungkan usaha pemuliharaan alam sekitar dengan pembangunan komuniti setempat.

“Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 September ini turut diserikan dengan pelbagai program menarik seperti sukan rakyat, pameran agensi, aktiviti komuniti, explorace kayak dan Selera Rasa Setiu Wetlands,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Setiu Wetlands 2025 bertempat di Boardwalk, Taman Negeri Setiu Wetlands , Kampung Pangkalan Gelap, di sini baru-baru ini.

Razali berkata Festival Setiu Wetlands kini menjadi acara tahunan penting dalam kalendar pelancongan negeri dan terus berperanan sebagai platform untuk mempromosikan keindahan alam semula jadi Setiu kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memelihara kelestarian alam sekitar di samping memperkukuhkan lagi kedudukan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama negara.

“Pengiktirafan MBOR ini memberi makna besar kerana ia bukan sahaja menambah nilai pada produk pelancongan Setiu, malah menyedarkan masyarakat tentang kepentingan memelihara ekosistem yang unik di kawasan Wetlands,” ujarnya.