Home Berita PAS Terengganu

Paip Gas Bocor : Pekerja Dipindahkan, tiada kediaman terjejas

10
SHARE

KEMAMAN – Susulan insiden kebocoran gas di saluran paip berhampiran Kampung Chabang, Kertih pagi tadi, pekerja-pekerja di tapak terbabit telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut kenyataan PETRONAS Gas Berhad (PGB), lokasi kebocoran terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan berada jauh daripada kawasan perumahan.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, semua pekerja yang berada berhampiran lokasi kejadian telah dipindahkan ke lokasi selamat, manakala kawasan insiden ditutup daripada akses awam dan pekerja,” kata kenyataan itu.

PGB memaklumkan keadaan kini terkawal dengan saluran paip yang terjejas telah disekat sepenuhnya, selain pemantauan berterusan sedang dijalankan.

Dalam masa sama, bekalan gas kepada pelanggan tidak terganggu kerana penghantaran masih diteruskan melalui saluran lencongan (loop line) dalam rangkaian paip sedia ada.

Syarikat itu juga menegaskan kerjasama penuh sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan bagi menguruskan insiden ini, sementara hasil siasatan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan satu kebocoran paip gas jenis ‘butane’ yang dilaporkan berlaku di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, pada jam 9.53 pagi.

“Polis menutup sepenuhnya kawasan kejadian serta menghentikan bekalan gas sehingga kerja-kerja penyelenggaraan selesai dijalankan kontraktor. Laluan utama Kerteh–Ranggon turut ditutup kepada semua kenderaan bagi tujuan keselamatan.

“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga diaktifkan untuk memantau situasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak menghampiri kawasan tersebut serta mematuhi arahan pihak berkuasa.image widget