KEMAMAN, 20 September – Satu kebocoran paip gas jenis butana (C4) dilaporkan berlaku di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Pegawai Daerah Kemaman sebelum segera turun padang meninjau lokasi.
Menurutnya, laporan daripada Petronas memaklumkan paip gas dari Gas Processing Plant (GPK) Kerteh ke Terminal Eksport Gas (TSET) Kemaman pecah, menyebabkan gas terbebas ke udara.
“Pihak Petronas bersama pasukan keselamatan bertindak menutup bekalan gas di saluran terbabit serta memastikan keadaan di kawasan sekitar selamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada MERS 999 pada jam 9.53 pagi.
Katanya, lokasi kebocoran terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.
“Polis menutup sepenuhnya kawasan kejadian serta menghentikan bekalan gas sehingga kerja-kerja penyelenggaraan selesai dijalankan kontraktor. Laluan utama Kerteh–Ranggon turut ditutup kepada semua kenderaan bagi tujuan keselamatan.
“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga diaktifkan untuk memantau situasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak menghampiri kawasan tersebut serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di talian 09-859 2222.