Home Berita PAS Terengganu

Kebersihan Masjid Kristal berpunca kekangan teknikal, terima teguran pengunjung

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Isu kebersihan dan kerosakan yang timbul di Masjid Kristal bukanlah berpunca daripada ketiadaan penyelenggaraan, sebaliknya akibat kekangan teknikal dan faktor keselamatan yang perlu diutamakan.

Pengurus Besar Taman Tamadun Islam (TTI), Ahmad Fadhil Wahab menjelaskan, pihak pengurusan sentiasa melakukan pemantauan dan kerja penyelenggaraan, namun jumlah pengunjung yang terlalu ramai menyebabkan terdapat had terhadap proses pembersihan dan pembaikan di kawasan tertentu.

“Apa yang berlaku sebenarnya hanyalah perkara teknikal. Kesesakan akibat jumlah pengunjung yang terlalu ramai menyebabkan kita perlu menghadkan proses pembersihan dan pembaikan di lokasi tertentu sahaja.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan kepada pengunjung semasa kerja dijalankan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, hampir keseluruhan proses pembersihan kolam telah diselesaikan, manakala pembaikan struktur kayu yang rosak sedang dijalankan secara berperingkat sejak tahun lalu.

“Saya akui mungkin ada kekurangan daripada pihak kami, khususnya dalam aspek penyediaan papan tanda pemberitahuan untuk memberi peringatan kepada pengunjung agar lebih berwaspada,” tambahnya.

Ahmad Fadhil turut menegaskan bahawa pihak TTI menyambut baik sebarang teguran atau cadangan daripada orang ramai demi memastikan Masjid Kristal kekal menjadi tarikan utama pelancong.

“Kami akan terus meneliti perkara ini dan memperbaiki perkhidmatan TTI dari masa ke masa, selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Terengganu memperkukuh sektor pelancongan negeri,” ujarnya.