Home Berita PAS Terengganu

Imam, Pendakwah Terengganu Tamatkan Kursus Bahasa Arab di Ummul Qura

5
SHARE

MEKAH – Imam dan pendakwah dari Terengganu berjaya menamatkan Kursus Bahasa Arab di Universiti Ummul Qura, Mekah Al-Mukarramah melalui Majlis Haflah Takharruj yang berlangsung penuh bermakna semalam.

Program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu itu dijalankan selama sebulan dengan matlamat memperkukuh penguasaan bahasa Arab sebagai medium utama dalam penyampaian dakwah dan penguasaan ilmu Islam.

Majlis graduasi tersebut diserikan dengan kehadiran Pengarah Eksekutif Iqra’ al-‘Arabiyyah, Universiti Ummul Qura, Dr. Abdullah Bawazir, serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, bersama para tenaga pengajar kursus.

Salah seorang peserta, Ustaz Amirul Hakim, menzahirkan rasa syukur atas peluang berharga itu.

Beliau berharap kerajaan negeri dapat memperluaskan lagi ruang pembelajaran agar lebih ramai imam dan pendakwah berpeluang mendalami bahasa Arab secara berkesan.

Dalam ucapannya, Dr. Khalil menekankan rasa bangga dengan kesungguhan para peserta yang gigih menguasai bahasa Arab dalam tempoh singkat.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited memperkukuh penggunaan bahasa Arab supaya imam dan pendakwah mampu menyampaikan dakwah dengan kefahaman Islam yang lebih mendalam.

“Semoga kursus ini menjadi permulaan kepada kerjasama lebih luas dengan Universiti Ummul Qura dan Iqra’ al-‘Arabiyyah untuk menyediakan modul lanjutan yang sesuai dengan keperluan peserta,” ujarnya.

Selesai majlis, turut diadakan perbincangan khas antara Dr. Khalil dan pihak Iqra’ al-‘Arabiyyah yang membincangkan cadangan kursus lanjutan, penetapan sasaran peserta yang lebih berfokus, serta peluang kerjasama akademik jangka panjang.

Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk terus membuka ruang peningkatan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan imam dan pendakwah, agar mereka mampu menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan serta mendekatkan masyarakat kepada sumber asal al-Quran dan al-Sunnah.