Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya anak muda dari segenap pelosok tanah air, untuk hadir beramai-ramai ke Himpunan Bantah Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar (RUU URA) yang akan diadakan pada:
Tarikh: 4 Oktober 2025, Sabtu
Tempat: Kuala Lumpur
Isu Pokok: Tanah Rakyat Dirampas Tanpa Keadilan
Kami menegaskan bahawa URA membuka jalan kepada pengambilan tanah yang tidak mengikut lunas undang-undang dan mengabaikan hak rakyat marhaen. Beberapa contoh nyata telah berlaku:
▪️Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur – penduduk dizalimi melalui proses pengambilan tanah yang cacat dari segi undang-undang dan perbicaraan yang tidak adil.
▪️Kuchai Entrepreneur Park – unit-unit pangsapuri diambil tanpa rundingan tulen dan tanpa pampasan setimpal.
▪️Kampung Jinjang Utara – tanah rakyat dipaksa untuk pembangunan, mengabaikan kepentingan masyarakat setempat.
Tindakan ini jelas bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, prinsip keadilan sosial serta hak pemilikan harta yang diiktiraf Islam. Firman Allah SWT:
“وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ”
“Dan janganlah kamu memakan harta di antara kamu dengan jalan yang batil.” (Surah Al-Baqarah: 188)
Hadis Nabi SAW juga memberi amaran keras:
“Sesiapa yang mengambil tanah orang lain walau sejengkal tanpa hak, maka Allah akan kalungkan kepadanya tanah itu pada hari kiamat dari tujuh petala bumi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Seruan Jihad dan Perjuangan
Muktamar PAS Pusat ke-71 baru-baru ini telah meniupkan semangat baharu kepada seluruh anggota dan pendukung perjuangan Islam untuk bangkit mempertahankan hak rakyat dan maruah bangsa.
Maka, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyeru:
▪️Seluruh anak muda – jadilah barisan hadapan mempertahankan tanah dan hak rakyat.
▪️Semua ahli dan penyokong PAS – turun dengan tertib, aman dan penuh disiplin, membuktikan bahawa kita menolak kezaliman dengan akhlak Islami.
▪️Seluruh rakyat Malaysia – sama ada di bandar atau desa, mari kita bersama-sama menyatakan bantahan terhadap undang-undang yang menindas ini.
Himpunan ini adalah manifestasi jihad politik dan sosial kita, untuk menegakkan kebenaran serta menolak kezaliman. Inilah saatnya kita berganding bahu membuktikan bahawa anak muda Malaysia tidak rela tanah mereka digadai dan hak mereka diperkotak-katikkan.
Allahu Akbar!
Selamatkan Tanah Rakyat!
AZMER SYAZWAN BIN AHMAD SUPARMIN,
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
21 September 2025.
21 September 2025.