KUALA TERENGGANU – Negeri Terengganu hari ini kehilangan seorang tokoh ulama disegani apabila Ustaz Dr. Hamdan Mohamed, Tokoh Dakwah Maal Hijrah Terengganu 2019, kembali ke rahmatullah 10.58 pagi tadi.
Allahyarham yang dilahirkan pada 20 Jun 1954 menghembuskan nafas terakhir selepas sesak nafas sejurus menghadiri Muktamar Tahunan PAS di Kedah.
Beliau sebelum itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan tidak sedar serta tidak stabil.
Solat jenazah ke atas Allahyarham akan diadakan di Masjid Nurul Ehsan, Langgar, Kedah, sebelum dibawa pulang ke Terengganu untuk dikebumikan.
Dikenali sebagai seorang pendakwah gigih dan tokoh yang banyak berjasa dalam lapangan dakwah serta pendidikan Islam, Allahyarham telah mendidik ribuan anak murid sepanjang hayatnya.
Sumbangan beliau menjadikan pemergiannya satu kehilangan besar bukan sahaja bagi negeri Terengganu tetapi juga umat Islam seluruhnya.