Home Berita PAS Terengganu

“Peluh di Jalan Raya, Warisan Tak Hilang Ditelan Zaman”

28
SHARE

HULU TERENGGANU – Dua pengayuh beca veteran mendapat perhatian ramai dalam Program Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang, baru-baru ini.

Berkongsi kisah tentang kehidupannya sebagai pengayuh beca, Abdul Wahab Abdul Rahman, 80, atau lebih dikenali sebagai Pok Wahab, berasal dari Kampung Pok Bang, Bukit Besar, berkata beliau memilih kerjaya itu sejak tahun 1970-an dan menjadikannya punca utama pendapatan untuk membesarkan tiga orang anak.

“Dulu orang kampung ramai guna beca, hasilnya cukup untuk sara keluarga. Tapi sekarang beza jauh, susah kalau harap orang tempatan. Sekarang lebih bergantung pada pelancong,” katanya ketika ditemui.

Selain mengayuh beca, bapa kepada tiga anak itu juga pernah bekerja sebagai buruh kontrak. Namun, kayuhan beca tetap menjadi sebahagian hidupnya sehingga kini, terutama membawa pelancong mengelilingi bandar Kuala Terengganu.

Seorang lagi pengayuh beca, Abdullah Mohamad, 70, dari Kampung Ladang Sekolah, turut berkecimpung sejak tahun 1970-an.

Bapa kepada empat anak itu memberitahu, salah seorang anaknya kini turut meneruskan legasi dengan mengayuh beca yang sama.

“Kalau ada tempahan kahwin atau majlis persaraan, saya kayuh bawa pengantin.

“Kalau tiada, saya tunggu pelanggan di Pasar Payang setiap hari. Sekarang orang tempatan kurang, kebanyakan pelanggan orang luar,” katanya.

Menurut Abdullah, walaupun keadaan semakin mencabar dengan perkembangan pengangkutan moden, permintaan untuk khidmat beca tetap ada, khususnya dalam majlis-majlis perkahwinan yang mahukan kelainan.

Kisah mereka berdua mencerminkan ketabahan golongan veteran yang masih berusaha mencari rezeki dengan cara tradisional, selain menjadi simbol warisan lama yang terus hidup di tengah arus kemodenan.