KEMAMAN – Kisah pengorbanan seorang isteri, Roslida Mohamad, 52, yang sanggup melupakan kerjaya demi menjaga suaminya yang sakit, menyentuh hati ramai.
Suaminya, Zulkifli Ismail, 52, hilang punca pendapatan selepas menghidap diabetes kronik, tuberculosis (TB) dan paru-paru berair, sekali gus menukar kehidupan keluarga mereka di Kampung Darat Kijal.
Kisah tersebut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, yang turun melawat mereka minggu lalu.
Razali berkata, pihaknya akan berusaha menyalurkan bentuk bantuan yang sesuai untuk meringankan beban keluarga tersebut.
“Kita sangat bersimpati dengan keadaan keluarga ini. Insya-Allah, kita akan cuba bantu termasuk sokongan untuk rawatan beliau, supaya beban dapat dikurangkan,” katanya kepada pemberita di Pejabat DUN Kijal, Paya Lasir Bandar Baru Kijal baru-baru ini.
Zulkifli yang dahulu bekerja sebagai pemandu lori di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) tidak lagi mampu mencari rezeki selepas kakinya mengalami komplikasi serius akibat diabetes.
Katanya, tulang tumit hancur dan sebahagian daging terpaksa dibuang, menyebabkan beliau hanya boleh bergerak dengan tongkat atau kerusi roda.
“Kehidupan kami berubah bila saya hilang kerja. Dua anak masih belajar di universiti dan kolej, seorang lagi masih bersekolah.
“Saya hanya bergantung pada pampasan syarikat untuk belanja keluarga dan rawatan. Kos balutan kaki pula mencecah RM300 sebulan,” ujarnya.
Roslida pula mengakui tidak mampu bekerja kerana perlu sentiasa ada di sisi suaminya yang lemah dan kerap jatuh.
Menurutnya, suami pernah jatuh lebih lima kali dan selalu sesak nafas. Sebab itu saya kena jaga dia sepanjang masa.
Lebih memilukan, anak kedua mereka, Izatul Najwa, 19, yang menuntut di Kolej Matrikulasi Pahang pernah berhasrat berhenti belajar kerana kesempitan hidup.
“Elaun dia cuma RM250 sebulan. Kadang-kadang tak cukup untuk tambang pergi balik kolej. Kalau ayah masuk hospital, dia tak dapat balik sebab tak ada duit.
“Walau susah, kami tetap suruh anak-anak belajar. Apa yang ada, kami berjimat dan utamakan mereka,” kata Roslida.
Setakat ini, keluarga berkenaan hanya menerima bantuan one-off daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan sedang menunggu bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Agrobank Roslida Mohamad (2006491000136025) atau menghubungi talian 014-8004279.