KUALA TERENGGANU – Percutian ke Terengganu sekali lagi menjadi tumpuan apabila ruang komen di laman TikTok OMG Sekmung yang berkongsi suasana jalan raya sesak, dibanjiri dengan luahan pengalaman indah pelancong dari seluruh negara.
Rata-rata pengunjung mengakui mereka jatuh cinta dengan keindahan pantai, keramahan rakyat dan keenakan makanan tempatan yang murah serta menyelerakan.
Ada yang sampai berseloroh memohon maaf kepada rakyat Terengganu kerana menjadi penyumbang utama kesesakan jalan raya sepanjang cuti sekolah.
Seorang pengguna, Whymil.7, menulis mengatakan bahawa dia salah seorang menyebabkan Terengganu sesak.
“Maaf orang Terengganu, tapi Terengganu memang ‘the best’,” katanya.
Dari Pulau Pinang pula, Wanny Rhafar berkongsi pengalamannya yang sukar dilupakan.
“Best sangat Terengganu ni. Makanan sedap, tempat menarik, orang Terengganu semua baik-baik. Tahun depan ‘repeat’ lagi,” jelasnya.
Seorang lagi pengunjung, Ahmad Kassim, meluahkan rasa kagum dengan suasana di negeri Terengganu.
“Serius aku cakap, Terengganu ni ‘vibe’ dia lain. Aku pergi sana ‘happy’ gila, rasa tak nak balik negeri asal,” ujarnya.
Malah, ada yang mengakui percutian singkat selama tiga atau empat hari tidak cukup untuk menikmati keindahan negeri ini.
“Empat hari di sini, makanan sedap sangat, rumah inap dan hotel banyak penuh. Belum puas berjalan lagi di Terengganu,” kata Shaqq dari Selangor.
Selain pantai dan makanan, faktor budaya dan suasana masyarakat turut menjadi tarikan.
Seorang pengguna TikTok, Syifa Share, berkongsi keterujaan keluarganya apabila bercuti di negeri ini.
“Dia punya ‘impressed’ dengan ‘culture’ dan suasana kat sini sampai cakap kalau buat rumah kat sini pun best. Makan murah weh!,” tambahnya.
Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman ke lokasi ikonik seperti Masjid Kristal, Pasar Payang dan pantai-pantai popular.
Bagi El-Fiona, kunjungannya kali ini pasti akan diulang kerana ketenangan yang ada di Terengganu sukar didapati di tempat lain.
Gelombang komen ini membuktikan bahawa Terengganu terus kekal sebagai destinasi pelancongan pilihan, bukan sahaja kerana keindahan alamnya tetapi juga kerana kehangatan layanan masyarakatnya.