Oleh : HABSAH ALI
KOTA SARANG SEMUT, 15 Sept – Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menegaskan keperluan membangunkan nilai manusiawi sebagai asas perjuangan parti selaras dengan Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-71 di sini hari ini.
Wakil perbahasan, Husna Roslan berkata, nilai manusiawi yang berpaksikan takwa, kasih sayang, keadilan, amanah dan ukhuwah mesti diterjemahkan dalam tarbiyah, dakwah dan siasah parti.
“Kemuliaan manusia bukan pada pangkat atau kuasa tetapi pada takwa dan akhlak. Nilai manusiawi ialah roh Islam yang melahirkan kasih sayang, keadilan dan keberanian menegakkan kebenaran,” katanya ketika menyampaikan ucapan tersebut.
Beliau turut menekankan cabaran besar masyarakat hari ini yang berdepan nilai kemanusiaan termasuk isu penderaan dalam keluarga, budaya buli dalam kalangan pelajar serta tragedi kemanusiaan di Gaza yang menyaksikan puluhan ribu nyawa yang tidak berdosa terkorban.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah mengukuhkan tarbiyah melalui program ruhani, mengarusperdanakan dakwah, memantapkan siasah berintegriti, memperkasa institusi keluarga termasuk melalui Taman Asuhan Tunas Islam (TASTI) serta menyokong peranan antarabangsa dalam isu Palestin.
“Kita mahu menzahirkan sebuah negara rahmah, tempat rakyat hidup aman, adil, berakhlak dan bermaruah. Dengan Islam sahaja manusia akan selamat daripada kerosakan sosial yang semakin meruncing,” tegasnya.
Beliau mengakhiri ucapan dengan mengulangi sokongan penuh Dewan Muslimat PAS Malaysia terhadap Ucapan Dasar Presiden.