Home Kenyataan Media PAS Wilayah

PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN TEGAS MENYATAKAN ISU KG SG BARU BUKAN FITNAH TETAPI FAKTA UNDANG-UNDANG

2
SHARE

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menolak sekeras-kerasnya tuduhan liar Angkatan Muda Harapan (AMH) yang mendakwa kononnya PAS menunggang isu Kampung Sungai Baru untuk kepentingan politik. Hakikatnya, kami konsisten memperjuangkan nasib penduduk yang terkesan dengan pengambilan tanah secara zalim, berasaskan fakta undang-undang yang tidak boleh disembunyikan.

 

1) Fakta Undang-Undang yang Tidak Boleh Disangkal

 

Isu Kampung Sungai Baru berpunca daripada proses pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960). Warta Seksyen 4 bertarikh 30 Oktober 2017 (pentadbiran Barisan Nasional) adalah peringkat notis niat kerajaan untuk mengambil tanah, iaitu permulaan rasmi proses pengambilan di bawah APT 1960. Notis ini membolehkan kerajaan memasuki tanah bagi tujuan kajian, ukuran dan siasatan awal.

 

Warta Seksyen 8 bertarikh 21 Jun 2021 (pentadbiran Perikatan Nasional) adalah pengisytiharan pengambilan muktamad, yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil alih tanah walaupun tanpa persetujuan penuh pemilik. Inilah punca keresahan besar penduduk kerana mereka kehilangan hak untuk menolak walaupun bantahan dikemukakan.

 

2) Jika PN Bersalah, Mengapa Madani Tidak Membela?

 

Sekalipun benar bahawa pengisytiharan Seksyen 8 berlaku pada era PN, tanggungjawab semasa kini terletak pada bahu Kerajaan Madani yang sedang memerintah. Jika PN dahulu dianggap bersalah, maka apa fungsi Kerajaan Madani sekarang?

 

Mengapa mereka tidak menggubal langkah pembaikan, menangguhkan proses, atau memperkenalkan dasar baru bagi menjaga kebajikan rakyat?

Kegagalan kerajaan hari ini untuk bertindak hanya membuktikan bahawa PH dan sekutunya tidak lebih baik daripada PN iaitu sama-sama mengabaikan hak rakyat marhaen.

 

3) Penghargaan kepada Polis

 

Kami merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, yang berani memimpin anggotanya ketika berdepan provokasi di lapangan. Namun, kecederaan yang menimpa beliau membuktikan bahawa pendekatan paksaan dalam pengosongan membuka ruang kepada ketegangan.

 

4) Fitnah Angkatan Muda Harapan (AMH)

 

Tuduhan bahawa Pemuda PAS tidak simpati kepada polis adalah tidak benar. Kami berdiri bersama anggota penguatkuasa yang bertugas dengan amanah. Yang kami tentang ialah kerajaan yang bersembunyi di balik uniform polis untuk menindas rakyat kecil.

 

5) Seruan kepada Rakyat

 

Pemuda PAS menegaskan, fitnah sebenar datang daripada AMH yang cuba menutup kelemahan pentadbiran mereka dengan menyerang suara anak muda yang membela rakyat. Penduduk tidak mahu tahu siapa pemerintah tetapi mereka hanya mahu hak mereka dipelihara.

 

Rakyat harus menolak politik sempit yang berteraskan putar belit fakta dan perpecahan kaum. Sebaliknya, kita perlu bersatu membela keadilan agar nasib penduduk Kampung Sungai Baru dan seluruh rakyat marhaen terbela.

 

Azmer Syazwan bin Ahmad Suparmin,

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan,

12 September 2025.