Sejarah hitam yang berlaku di Kampung Sungai Baru pada 11 September 2025 menggambarkan suatu lagi episod kerakusan pemaju kapitalis yang dilindungi oleh undang-undang negara Malaysia. Kerja pengosongan yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya semalam kelihatan dicabul oleh wakil mahkamah sendiri apabila mengarahkan kerja perobohan dilakukan secara terus.
Sedangkan, perbicaraan tentang kes Kg Sg Baru dijadualkan untuk berlangsung pada 3 Oktober 2025. Maka, penduduk memfailkan rayuan pada Mahkamah Tinggi Malaya supaya menangguhkan pelaksanaan tersebut supaya kes di mahkamah dapat dijatuhkan keputusan dahulu.
Namun, rayuan dinafikan dan kerja-kerja pengosongan, penguncian premis, pemotongan air dan api serta kerja-kerja perobohan digerakkan secara rakus oleh pasukan pemaju dan dilindungi oleh aparat keamanan yang bekerja makan gaji dan mendapat arahan dari atasan. Sedangkan, wakil pemaju bergoyang kaki melihat orang melayu bergaduh sesama sendiri.
PAS di Wilayah Persekutuan telah lama berjuang bersama penduduk Kg Sg Baru dengan pelaksanaan pelbagai program, gerak kerja, libat urus sehingga ke peringkat demonstrasi. Perjuangan kita tersebut bermula dari berdirinya bangunan-bangunan flat Kg Sg Baru sehingga runtuh semuanya menyembah bumi dan kini sehingga rumah teres mula dirobohkan oleh pemaju sejak semalam.
Persoalannya kenapa PAS di Wilayah Persekutuan mempertahankan hak penduduk yang tidak menerima pembangunan tersebut?
▪️Demografi Kaum yang membahayakan
Pertama, kami melihat perkara yang paling bahaya dalam isu Kg Sg Baru adalah mengenai demografi kaum yang akan menjadi kacau bilau. Sekarang ini Kg Sg Baru dibawah pemilikan 100% orang melayu Islam di bawah status pemilikan secara bergeran. Rumah mereka bukanlah setinggan seperti yang difitnahkan, sebaliknya para penduduk memiliki geran pemilikan yang sah terhadap tanah dan rumah mereka.
Demografi kaum di Kuala Lumpur kini meletakkan kaum bumiputera sekitar 47.7%, Melayu dan Cina memegang demografi yang sama iaitu 41.6% dan kaum India 10%. Menggambarkan imbangan kaum majoriti di Malaysia iaitu melayu dan bumiputera hampir berimbang dengan kaum Cina. Imbangan seperti ini tidak menatijahkan kestabilan, sebaliknya porak peranda jika dinilai pula pada sudut penguasaan ekonomi di Kuala Lumpur.
Pembangunan kondominium yang dicadangkan membuka ruang kepada pemilikan luar. Jika hari ini pemilikan tersebut dimiliki 100% oleh penduduk melayu Islam, selepas ini pemilikan baru akan meletakkan peratusan melayu Islam menjadi rendah. 300 unit rumah akan bertukar menjadi 3000 unit rumah, tetapi pemilikan orang melayu Islam akan kekal sebagai 300 unit rumah sahaja.
Bahkan, sehingga pertengahan tahun 2024 sahaja jumlah unit rumah tidak terjual adalah sehingga 3051 unit. Nilaiannya adalah sehingga RM3.06 bilion. Bukankah ini sudah suatu masalah yang perlu diselesaikan oleh kerajaan melalui sekatan projek-projek perumahan baru yang akan menambahkan lagi jumlah unit yang tidak terjual tersebut?
Perkara yang menjadi kebimbangan kita yang lebih besar lagi adalah unit-unit rumah tidak terjual ini akan dibuka kepada pemilikan warga asing yang akan masuk memohon menggunakan tiket Malaysia My Second Home (MM2H). Perkara ini akan merubah lebih banyak demografi kaum di Kuala Lumpur khususnya perihal pemilikan hartanah, ekonomi dan sosial.
▪️Kehilangan Status Pemilikan Tanah
Kedua, pembangunan di Kg Sg Baru ini akan menyebabkan hilangnya status geran pemilikan tanah yang dimiliki oleh penduduk. Pembangunan baru akan menyebabkan geran individu (harta atas tanah) akan bertukar menjadi geran strata (rumah bertingkat).
Geran strata hanya mengesahkan pemilikan untuk unit (petak) yang dimiliki oleh penduduk. Adapun selain dari unit petak tersebut adalah harta bersama yang dikongsi oleh penduduk dan diselia oleh JMB. Sudah tentu perkara ini akan meningkatkan kos sara hidup penduduk dan mengecilkan lagi kawasan yang dimiliki oleh penduduk secara sah.
Perkara yang lebih malang adalah pembangunan yang ditawarkan oleh pemaju hanyalah meliputi 7 ekar tanah sahaja. Sedangkan tanah yang dirampas oleh pemaju dengan perlindungan Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah sehingga 9 ekar. Baki 2 ekar yang dirampas tersebut tidak dinyatakan tujuannya.
Perkara ini menjadi tanda tanya sehingga sekarang kepada para penduduk. Adakah penduduk boleh dengan rela menyerahkan hak milik mereka kepada pemaju yang datang dari luar tanpa mengetahui ke manakah tanah milik mereka akan digunakan? Bukankah ini suatu penjajahan baru untuk penduduk dan suatu tamparan berat kepada orang melayu Islam?
Cara pembangunan seperti ini sedikit demi sedikit akan menghalau orang melayu Islam, mengecilkan pemilikan mereka terhadap hartanah di bandar utama dan menyebabkan mereka terpuruk dalam jurang ekonomi yang sangat lebar dengan bangsa-bangsa lain?
▪️Pembangunan dengan Kaedah Islam
Ketiga, PAS di Wilayah Persekutuan sangat konsisten menyatakan bahawa kami tidak menolak sebarang pembangunan. Sebaliknya pembangunan tersebut mestilah menurut acuan Islam berdasarkan landasan syariat.
Jika diperhalusi, pemaju yang merampas tanah Kg Sg Baru adalah KL City Gateway yang sebelumnya adalah Ritzy Gloss yang telah bangkrap kerana hutang. Kemudian meletakkan orang melayu seorang dua sebagai Board of Director (BOD) yang menjadi barisan hadapan merampas tanah orang melayu sendiri.
Pemaju pula memulakan projek mereka bukan dengan wang mereka sendiri. Sebaliknya menggunakan pembiayaan bank yang wang di dalam bank tersebut adalah wang orang melayu sendiri. Mereka merampas tanah kita, ambil geran kita dan menawarkan pembangunan dengan menggunakan wang kita sendiri. Tetapi yang mengaut sebanyak-banyak keuntungan adalah pemaju. Apa pula bahagian yang diperuntukkan untuk penduduk?
Penduduk hanya mendapat pampasan yang nisbah terlalu kecil dengan keuntungan pemaju, dan rumah yang lebih kecil daripada apa yang mereka miliki sekarang. Paling penting, kedaulatan penduduk terhadap tanah tersebut akan hilang secara terancang dan sistematik dengan perlindungan undang-undang.
Adapun tawaran pembangunan yang lebih baik adalah menyerahkan kepada penduduk untuk memilih pembangunan seperti apa yang mereka perlukan, biarkan penduduk yang membuat pembiayaan bank dan menentukan pemaju yang akan membangunkan tanah mereka sendiri. Hasilnya pula diserahkan kepada penduduk tanpa mengganggu demografi kaum sedia ada di kawasan tersebut.
▪️Pintu Gerbang Kejayaan URA
Keempat, kami juga bimbang jika Kg Sg Baru jatuh ke tangan kapitalis. Maka, pintu gerbang ke arah pelaksanaan URA akan berjalan dengan lebih lancar dan tenang lagi.
▪️Kesimpulan
Akhirnya, PAS di Wilayah Persekutuan tidak melihat isu ini sebagai picisan. Apatah lagi melihat pertikaian ini hanya pada aspek kumpulan majoriti dan minoriti yang berbeza. Kami juga ingin mempersoal penduduk yang telah bersetuju, adakah mereka sebenarnya faham dengan pertimbangan-pertimbangan yang kami sebutkan di atas?
Abdul Razak bin Ramli,
Ketua Penerangan DPPWP,
12 September 2025.