Home Kenyataaan Media PAS Perak

Insiden Serangan Terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak: Satu Perkara Yang Amat Dikesali

20
SHARE
May be an image of 3 people and text that says "Nasional Insiden serangan ke atas Sultan: Gesa siasatan segera September 2, ,2025 2025 f X in IGSAAN"KENYATAAN MEDIA
KETUA PEMBANGKANG DEWAN NEGERI PERAK
Insiden Serangan Terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak: Satu Perkara Yang Amat Dikesali
1. Saya, selaku Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, ingin merakamkan rasa kesal dan dukacita yang mendalam atas insiden yang berlaku semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak, di mana DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah menjadi sasaran serangan oleh seorang wanita sehingga dikatakan berlakunya sentuhan kepada DYMM Tuanku Sultan Perak.
2. Perkara ini bukan sahaja mencetuskan kebimbangan dari segi keselamatan, malah menyinggung perasaan rakyat jelata yang sentiasa menjunjung tinggi institusi Kesultanan Perak sebagai lambang kedaulatan negara dan payung perpaduan negeri. Apa jua bentuk keganasan atau perbuatan yang tidak menghormati Raja dan institusi Diraja adalah tidak boleh diterima sama sekali.
3. Saya menyeru agar pihak berkuasa menjalankan siasatan yang telus dan segera bagi mengenal pasti motif serta memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang. Dalam masa yang sama, keselamatan DYMM Tuanku Sultan Perak serta seluruh kerabat Diraja perlu ditingkatkan terutama ketika majlis-majlis rasmi yang melibatkan kehadiran awam. Sebarang upacara rasmi tidak boleh dicemari dengan sebarang insiden negatif tambahan lagi dalam keadaan yang ada pada hari ini boleh menimbulkan interpretasi serta persepsi yang berbagai-bagai oleh masyarakat asbab kepada keterbukaan media sosial.
4. Bagi pihak pembangkang di Dewan Negeri Perak, kami menyatakan pendirian tegas untuk berdiri seiring dengan kerajaan negeri dalam mempertahankan maruah serta keselamatan institusi Diraja. Kita semua, tanpa mengira fahaman politik, wajib memastikan bahawa negeri Perak terus kekal aman, stabil, dan harmoni.
5. Akhir kata, saya menyeru seluruh rakyat Perak agar bertenang, tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan, serta terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kebawah DYMM Paduka Seri Sultan Perak.
HAJI RAZMAN BIN ZAKARIA
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak
SHARE
Previous articleSELAMAT HARI KEBANGSAAN KE-68