Home Rencana PAS Wilayah

AL-JUNDIYYAH: ROH DISIPLIN & PENGORBANAN DALAM GERAKAN ISLAM

14
SHARE

Allah swt berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلَّذِینَ یُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِهِۦ صَفࣰّا كَأَنَّهُم بُنۡیَـٰنࣱ مَّرۡصُوصࣱ

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang tersusun rapi, seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah al-Saff, ayat 4)

▪️Al-Jundiyyah: Puncak Tarbiah Haraki

Al-Jundiyyah (الجُندِيَّة) bukanlah salah satu daripada Arkān al-Bai’ah yang sepuluh, namun ia merupakan kemuncak kepada semua rukun tersebut, sekaligus membuktikan keberkesanan tarbiah haraki.

Perjuangan Islam menuntut satu generasi yang bukan sahaja celik ilmu, tetapi juga kental jiwa, berdisiplin tinggi, dan sanggup berkorban demi menegakkan agama Allah SWT.

Dua teras utama yang membentuk al-Jundiyyah ialah:

🔻Disiplin (al-Inḍhibaṭh) – ketaatan, kepatuhan, ketekunan dan pengurusan diri yang rapi.

🔻Pengorbanan (al-Tadhiyyah) – kesediaan menyerahkan masa, harta, tenaga, bahkan nyawa demi kepentingan agama dan ummah.

▪️Al-Jundiyyah sebagai Disiplin Parajurit

Konsep al-Jundiyyah (الْجُنْدِيَّةُ) yang bermaksud pasukan atau kumpulan yang teratur di bawah kepimpinan adalah asas penting dalam melahirkan kader-kader dakwah yang istiqamah. Pemuda merupakan aset terpenting dalam perjuangan Islam. Sejarah Islam memperlihatkan bagaimana Rasulullah SAW membentuk generasi sahabat yang muda dengan roh al-Jundiyyah.

Dalam konteks gerakan Islam, khususnya Pemuda PAS sebagai benteng hadapan harakah Islamiyyah, al-Jundiyyah merupakan roh penggerak yang menjiwai setiap tindakan perjuangan. Al-Jundiyyah dalam istilah haraki ia menggabungkan 4 elemen penting iaitu:

🔻al-Tartīb (disiplin)

🔻al-Taʿah (ketaatan)

🔻al-Tahammul (ketahanan)

🔻al-Iltizām (komitmen sepenuh hati)

Semua elemen ini lah yang membentuk jati diri seorang Jundiy yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi serta kesedian berjuang sebagai sebagai tentera Allah dalam medan dakwah dan perjuangan walaupun dimana posisi sepertimana ungkapan al-Imam as-Syahid Hasan al-Banna menyatakan bahawa,

“Tanda keikhlasan seorang da’ie ialah apabila dia sanggup diposisikan di mana-mana sahaja dalam jemaah — sebagai qiyādah atau sebagai jundiyy dan tetap bekerja dengan semangat yang sama.”

Roh askariyyah ruhaniyyah inilah yang membentuk sifat untuk taat, disiplin dan bersabar tanpa mencari publisiti atau posisi dan inilah yang membina kekuatan sesebuah gerakan Islam.

▪️Roh Disiplin: Taat, Teratur & Terlatih

Pemuda PAS harus memahami bahawa kejayaan perjuangan Islam tidak mungkin dicapai tanpa disiplin. Disiplin dalam al-Jundiyyah menuntut:

🔻Ketaatan kepada arahan kepimpinan, selagi tidak bercanggah dengan syariat.

🔻Keteraturan organisasi, bergerak dalam saf dan sistem yang tersusun.

🔻Keteguhan tarbiah, melatih diri dengan ibadah, ilmu, dan akhlak.

Disiplin ini menjadikan Pemuda PAS bukan sahaja penggerak politik, tetapi juga teladan masyarakat yakni berakhlak, berstrategi, dan istiqamah dalam perjuangan.

▪️Roh Pengorbanan: Jiwa Besar Demi Islam

Selain disiplin, al-Jundiyyah juga menuntut pengorbanan. Pengorbanan pemuda berlaku dalam pelbagai bentuk:

🔻Pengorbanan Masa: mendahulukan program dakwah dan tarbiah berbanding kepentingan peribadi.

🔻Pengorbanan Tenaga: berkhidmat dalam masyarakat tanpa mengira kepayahan.

🔻Pengorbanan Harta: infaq dan sumbangan demi kelangsungan perjuangan Islam.

🔻Pengorbanan Jiwa: kesediaan menghadapi cabaran, fitnah, dan risiko demi menegakkan kalimah Allah.

Inilah semangat yang diwarisi daripada sahabat muda seperti Mus‘ab bin Umair RA, Usamah bin Zaid RA, dan pemuda Ansar yang rela mempertaruhkan nyawa demi perjuangan Islam.

▪️Pemuda PAS: Madrasah Al-Jundiyyah Kontemporari

Pemuda PAS adalah madrasah al-Jundiyyah yang dilatih dengan disiplin tarbiah dan jihad politik. Segala program usrah, tamrin, muktamar, pilihan raya, dan kebajikan adalah medan latihan yang membentuk pemuda menjadi jundi dakwah.

Dalam dunia moden yang penuh cabaran semasa seperti hedonisme, sekularisme dan liberalisme. Maka, roh al-Jundiyyah menjadi benteng yang mempertahankan aqidah dan syariat. Pemuda PAS sebagai benteng hadapan Islam perlu terus menjiwai semangat ini.

▪️Al-Jundiyyah adalah Roh Perjuangan

Pemuda PAS adalah nadi penggerak jemaah dalam lapangan dakwah, tarbiah, dan siasah. Dengan roh al-Jundiyyah, Pemuda PAS:

🔻Menjadi benteng akidah umat Islam, menangkis serangan pemikiran dan budaya songsang.

🔻Menjadi penggerak kebangkitan, membina kesedaran politik Islam di kalangan generasi muda.

🔻Menjadi petugas rakyat, turun padang membantu masyarakat dalam isu sosial, pendidikan, dan kebajikan.

🔻Menjadi pasukan pilihanraya, yang terlatih, disiplin dan sanggup berkorban untuk kemenangan Islam.

Kesemua ini membuktikan bahawa Pemuda PAS bukan sekadar sayap parti, tetapi nadi harakah yang memikul amanah besar membangunkan ummah.

Al-Jundiyyah adalah roh perjuangan. Ia bukan sekadar disiplin organisasi, tetapi satu falsafah hidup yang menuntut kesetiaan, ketaatan, dan pengorbanan demi agama.

Para Pemuda mesti menjadi saf al-Jundiyyah yang benar-benar teguh, demi memastikan harakah Islamiyyah terus mara membawa panji Islam di bumi Malaysia.

“Disiplin kita adalah kekuatan, pengorbanan kita adalah kemenangan.”

Ashraf Rifaie Azhar,

Pengerusi Lajnah Dakwah & Hubungan NGO DPPWP