Home Berita PAS Pahang

PN Teraju Pahang: PAS Bentong perkasa tarbiah

68
SHARE

Oleh : KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 28 Ogos – Sejajar misi PN Teraju Pahang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU16), PAS Bentong komited menjadikan tiga pasak utama iaitu tarbiah, dakwah dan siasah sebagai pemandu arah dalam merangka gerak kerja dakwah secara berterusan.

Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah berkata, dalam proses membina wajah dan imej parti menyaingi pihak lawan, pendekatan mungkin akan berubah-ubah mengikut waqi’ tetapi pasak yang menjadi tiang seri utama tidak berubah.

Sebagai sebuah gerakan Islam kontemporari paling berpengaruh ujarnya, pimpinan PAS di setiap peringkat perlu sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dan tidak sesekali terjebak dalam budaya politik gelojoh mengejar kuasa dan kerusi sehingga tersungkur dari niat asal perjuangan.

“Kita bukan batu atau mesin buatan. Kita adalah jentera manusia. Oleh sebab kita adalah jentera manusia, kita dikurniakan akal yang waras untuk menimbang buruk dan baik, kita ada roh yang hidup, ada hati dan jiwa yang secara fitrahnya hati yang baik ini cenderung ke arah kebaikan, nak buat benda baik.

“Sebab itu dalam PAS ada tarbiah, ada kuliah ilmu, ada pengisian rohani, tujuannya apa? Tujuannya nak didik, nak pandu dan ‘jaga’ hati kita agar tidak tersasar dengan keinginan yang bukan-bukan, kita buat kerja perjuangan ini kerana Allah, kita nak bantu masyarakat hidup dipandu agama.

“Hati dan jiwa manusia ni milik Allah. Tugas kita seru, sampaikan, tunjuk teladan yang baik-baik, buat benda yang baik-baik, di hujungnya nanti, terpulanglah pada Allah nak hogoh pintu hati pengundi di Bentong ni,” ujarnya.

Beliau berkata demikian usai membentang ucaptama bertajuk ‘Hala Tuju PAS Bentong Ke Arah PRU16′ di dalam retreat PAS Kawasan Bentong berlangsung di La’ Man Tokki, Kampung Lebu, ahad lalu.

Khairuddin turut menyentuh fenomena masyarakat hari ini sejajar perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), memberi cabaran besar terhadap gerakan islam.

Hal ini ujarnya sedikit-sebanyak telah menjadi gangguan halus terhadap sistem simbiosis atau saling kebergantungan hidup manusia serta cara berfikir masyarakat khususnya generasi muda dan ia boleh memberi impak dan kesan besar dalam jangka masa panjang jika tidak ditangani dengan baik.

“Saya menyebut perkara di atas sebagai persediaan pimpinan PAS Bentong untuk memahami jiwa dan psikologi mad’u. Kadang, ‘approach’ betul, sasaran tak tepat.

“Ibarat orang main bola, ada posisi namanya ‘fullback’. Tugas dia melindungi bahagian sayap padang serta menghalang hantaran lintang lawan. Kadang-kadang, ‘fullback’ ni jadi penyerang, kadang-kadang hanya duduk bertahan, begitulah lebih kurang.

“Makanya, nak tak nak, suka tak suka, kita yang jadi pemimpin ni kena rajin, hadir kuliah, ijtimak tarbawi, lengkapkan diri dengan ilmu termasuk ilmu pengurusan jiwa manusia,” ujar Khairuddin

Beliau berharap retreat anjuran Lajnah Pemerkasaan Parti tersebut berjaya menjelmakan semangat bekerja sebagai satu pasukan berpandu ‘road map’ yang dirancang bagi tempoh dua tahun akan datang khususnya menjelang pilihan raya tidak lama lagi.

“Bentong ni pintu gerbang Pantai Timur, maka PAS Bentong secara tidak langsung berperanan besar duduk di bahagian ‘front liner’, semoga kita mampu menyumbang sekurang-kurangnya satu kerusi, jadilah, ‘kerusi jagar pintu masuk’, insya-Allah,” ujarnya optimis PAS Bentong mampu menjadi sebahagian ‘pemberi sumbangan’ kemenangan kepada Perikatan Nasional di Pahang pada PRU16 kelak.