Home Berita PAS Wilayah

“Arkanul Bai‘ah: Menyusun Saf Menyatu Ummah” Jadi Teras Perbahasan

8
SHARE

Oleh :- Muhammad Abdul Fateh

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – PAS Wilayah Persekutuan telah berjaya menganjurkan *Konvensyen & Liqa’ Fikri 2025* dengan kehadiran lebih 200 orang perwakilan dari seluruh kawasan secara fizikal, manakala 50 orang perwakilan dari Labuan menyertai secara atas talian. Program bersejarah ini berlangsung di *Dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor, KUIZM Taman Melewar*.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya yang menekankan kepentingan tarbiyah dan pengukuhan organisasi dalam mendepani cabaran politik semasa.

Konvensyen dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Ar. Iskandar Samad, Bendahari PAS Pusat yang turut menyampaikan amanat agar seluruh jentera PAS Wilayah memperkukuhkan kefahaman tentang *Arkanul Bai‘ah* sebagai asas kekuatan jamaah dan penyatuan ummah.

Turut hadir, *YBhg. Dr. Mokhtar Senik, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat* yang menyampaikan *tausiyah Liqa’ Fikri*. Beliau menegaskan bahawa perjuangan Islam menuntut keikhlasan, istiqamah dan kesatuan saf, selain menyeru seluruh perwakilan memperkukuh budaya ilmu, amal jama‘i dan kesetiaan kepada jamaah.

Anugerah Tokoh PAS Wilayah Persekutuan

Dalam majlis penuh bermakna itu, Dato’ Iskandar turut menyampaikan Anugerah Khas Tokoh PAS Wilayah Persekutuan kepada tiga tokoh yang banyak menginfakkan kehidupan mereka dalam perjuangan:

1. Haji Amran Abd. Majid (1993–2025)
Berkhidmat selama 32 tahun dalam AJK PAS Wilayah Persekutuan. Pernah menjadi Setiausaha Kawasan Kepong (1993–2011), YDP Kawasan Kepong (2011–2025), dan Penolong Setiausaha Perhubungan PAS WP (2011–2015). Walaupun diuji kesihatan, beliau tetap menjadi sumber inspirasi perjuangan.

2. Ustaz Dr. (Homeopathy) Hj. Md. Ali Jamil (1995–2023)
Berkhidmat selama 28 tahun dalam AJK PAS Wilayah Persekutuan. Pernah menjadi YDP Kawasan Lembah Pantai (1995–1997), YDP Kawasan Cheras (1999–2021), Timbalan Pesuruhjaya PAS WP (2007–2011), dan Ketua Dewan Ulamak PAS WP (2015–2023).

3. Ustazah Hjh. Nuridah Md. Salleh (1999–2025)
Berkhidmat selama 26 tahun sebagai tonggak Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan sejak 1999 hingga kini.

Perbahasan Bersemangat bertemakan “Arkanul Bai‘ah: Menyusun Saf Menyatu Ummah” telah dibahaskan oleh 10 orang perwakilan kawasan dan dewan-dewan negeri dengan penuh semangat.

Perbahasan ini menyerlahkan kesungguhan PAS Wilayah Persekutuan dalam membina saf perjuangan yang padu, berpaksikan prinsip bai‘ah, serta memperkukuh kesatuan ummah demi menghadapi cabaran politik dan sosial yang kian mencabar.

Konvensyen & Liqa’ Fikri 2025 ini bukan sekadar medan perbahasan, malah menjadi platform tarbiyah, penghargaan tokoh, dan penyatuan saf perjuangan, menandakan kesediaan PAS Wilayah Persekutuan untuk terus memimpin masyarakat menuju kemenangan Islam.