Home Berita PAS Terengganu

Lemboh Nisang bukti kejayaan Usahawan Tempatan, Kerajaan Negeri sedia hulur sokongan

8
SHARE

MARANG – Kerajaan negeri komited menyokong pembangunan usahawan kecil dan sederhana (IKS) yang berjaya mengangkat produk tradisi negeri ke pasaran lebih luas, termasuk usaha yang dilakukan oleh pengusaha Lemboh Nisang di Marang.

Pusat jualan makanan berasaskan nisang (gula Melaka) yang diusahakan oleh Nur Nadhirah Syuhadah  Rahmat, 27, atau lebih dikenali Nachik Cikna bersama suami itu kini mendapat sambutan luar biasa walaupun baru 18 hari beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’  Ariffin Deraman berkata sepanjang lawatan ke lokasi tersebut mendapati Lemboh Nisang menjadi tumpuan orang ramai walaupun pada hari bekerja, manakala pada hujung minggu jumlah pengunjung meningkat tiga hingga empat kali ganda.

Katanya, menyedari potensi besar Lemboh Nisang bukan sahaja sebagai perniagaan keluarga tetapi juga destinasi baharu Community Based Tourism (CBT), kerajaan negeri akan meneliti bentuk sokongan dan bantuan yang sesuai bagi mengembangkan lagi produk tersebut.

“Kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu usahawan tempatan yang mampu menjana peluang pekerjaan serta merancakkan sektor pelancongan.

“Usahawan seperti ini adalah aset negeri kerana mereka bukan sahaja melestarikan produk tradisi Terengganu, malah menjadikan ia tarikan baharu pelancongan.

“Kami akan terus memberi sokongan melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan perniagaan seperti ini terus berkembang,” jelasnya.

Tambah beliau, dengan sokongan berterusan, Lemboh Nisang diyakini mampu menjadi antara destinasi wajib dikunjungi di Marang serta mengangkat produk nisan sebagai kebanggaan Terengganu di persada nasional.

Lemboh Nisang yang terletak berhampiran Dataran Batu Putih di Bandar Marang itu menawarkan pelbagai produk berasaskan nisan, dengan rancangan memperkenalkan lebih banyak variasi pada masa akan datang.