Home Berita PAS Terengganu

REE Terengganu jangan jadi seperti Petroleum, rakyat perlu nikmati hasil

4
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak (PN), hari ini meminta kerajaan memastikan hasil nadir bumi bukan radioaktif (REE) di Terengganu tidak mengalami nasib sama seperti petroleum, yang menurutnya tidak memberikan pulangan sewajarnya kepada rakyat negeri itu.

Beliau berkata, meskipun Terengganu menjadi pengeluar petroleum utama negara sejak sekian lama, manfaatnya lebih banyak diagihkan untuk kepentingan nasional berbanding rakyat tempatan.

“Kini alhamdulillah Terengganu dikurniakan simpanan REE antara yang tertinggi di negara ini, tetapi terdapat beberapa halangan untuk mengusahakannya kerana sebahagian besar berada di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

“Kerajaan negeri telah mengambil langkah dengan mencadang untuk mengapungkan kawasan berkenaan, iaitu menggantikannya dengan kawasan hutan lain yang tidak mempunyai REE,” katanya ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Alias turut bertanya cadangan dan kerjasama kementerian bagi membantu usaha kerajaan negeri menjayakan perlombongan REE sebagai sumber hasil baharu agar Terengganu dapat bangkit maju seperti negeri-negeri di Pantai Barat.

Menjawab persoalan itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perlombongan REE memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan kerana ia melibatkan beberapa peringkat kelulusan.

Katanya, kerajaan negeri bertanggungjawab mengeluarkan lesen penerokaan dan pajakan perlombongan, manakala Kerajaan Persekutuan terlibat dalam kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), skim pengendalian perlombongan serta permit eksport.

“Setakat ini negara belum mempunyai teknologi memproses REE, dan aktiviti perlombongan masih di peringkat percubaan. Justeru, kita perlu memastikan kajian terperinci dijalankan sebelum operasi berskala besar dimulakan,” katanya.

Dalam soalan asal, Alias meminta kementerian menyatakan status kajian untuk membenarkan aktiviti perlombongan REE di kawasan HSK serta garis masa untuk dimuktamadkan.