Home Berita PAS Terengganu

Seminar Dasar Wanita Terengganu Fokus Penglibatan Pemegang Taruh

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seminar Dasar Wanita Terengganu memberi fokus kepada penglibatan pemegang taruh secara menyeluruh bagi memastikan setiap intipati dasar dapat difahami, diterjemah dan memberi impak yang berkesan kepada golongan wanita di negeri ini.

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, penglibatan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), academia dan masyarakat awam sangat penting bagi menyumbang idea serta  buah fikiran dalam memperkasakan peranan wanita.

“Dasar Wanita Terengganu bukan sekadar dokumen, tetapi panduan penting yang memerlukan komitmen semua pihak.

“Melalui seminar ini, kita membuka ruang kepada pemegang taruh untuk memberi pandangan, bertukar idea serta mencari kaedah terbaik dalam pelaksanaan dasar agar ia benar-benar menyentuh kehidupan wanita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sesi temuramah Bersama Manis FM, semalam.

Menurut Tuan Roslina, Seminar Dasar Wanita Terengganu bakal berlangsung pada 21 Ogos ini di Dewan Besar, Wisma Darul Iman dan dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia.

Jelasnya, antara objektif utama seminar ini ialah membincangkan dan menerangkan isi kandungan Dasar Wanita Terengganu kepada semua pemegang taruh.

Selain itu kata beliau, ia membuka ruang kepada pemegang taruh untuk memberi idea dan bertukar pendapat ke arah pelaksanaan lebih inklusif serta memastikan setiap intipati dasar difahami dan dilaksanakan secara komprehensif.

“Wanita yang sejahtera adalah tonggak kepada kesejahteraan ummah. Maka, kita berharap program ini mendapat sambutan baik dan mampu melahirkan strategi pelaksanaan dasar yang benar-benar memartabatkan peranan wanita Terengganu,” ujarnya.

Dasar Wanita Terengganu diyakini menjadi kerangka utama dalam membina masyarakat harmoni, berdaya saing serta seimbang antara pembangunan insan dan kesejahteraan keluarga.