Home Berita PAS Terengganu

Lesen sampan khas untuk nelayan tulen

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu bersama Jabatan Perikanan, LKIM dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) hari ini memutuskan untuk membuka permohonan baharu Lesen Sampan Khas Nelayan bagi tahun 2025, khusus buat nelayan tulen yang masih belum memiliki lesen.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, langkah ini diambil selepas menyedari masih ada nelayan sepenuh masa yang belum mendapat lesen walaupun lebih 600 lesen khas telah diluluskan pada tahun 2021 dan 2022.

“Operasi pemutihan lesen turut dijalankan bagi memastikan hanya nelayan tulen dan aktif sahaja kekal memiliki lesen.

“Lesen yang tidak digunakan atau tamat tempoh akan ditarik balik bagi memberi ruang kepada mereka yang benar-benar layak,” tegasnya dalam satu kenyataan dalam sosialnya pada hari ini.

Menurutnya, antara syarat utama ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, bekerja sepenuh masa sebagai nelayan, memiliki sampan sendiri tidak melebihi 15 meter, sihat tubuh badan, lulus temuduga dan tidak pernah memiliki lesen nelayan sebelum ini.

Beliau menegaskan, hanya pesara kerajaan daripada kelompok B40 sahaja dibenarkan untuk memohon.

Tambah Azman, nelayan yang layak diminta segera berhubung dengan PNK, Pejabat Perikanan Daerah atau Pejabat Perikanan Negeri Terengganu dalam tempoh dua minggu dari tarikh pengumuman.