Home Minda Presiden

MENERIMA NASIHAT MUSUH MERUGIKAN

9
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 53 / 2025]
MENERIMA NASIHAT MUSUH MERUGIKAN


Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تُطِيعُواْ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يَرُدُّوكُمۡ عَلَىٰٓ أَعۡقَٰبِكُمۡ فَتَنقَلِبُواْ خَٰسِرِينَ ١٤٩ بَلِ ٱللَّهُ مَوۡلَىٰكُمۡۖ وَهُوَ خَيۡرُ ٱلنَّـٰصِرِينَ ١٥٠

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang yang kafir itu, nescaya mereka memesongkan kamu ke belakang (kepada kekafiran), lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi! (149) Akan tetapi, (ikutilah Allah), Allahlah Pelindungmu, dan Dialah sebaik-baik Penolong. (150)” [Surah Ali ‘Imran: 149–150]

Allah memberikan peringatan supaya jangan terpengaruh dengan musuh yang selama-lamanya berjuang demi menghina Islam dan memesongkan umatnya, sehingga mendapat kerugian dunia dan akhirat. Malah, dikalahkan di dunia sehingga dijajah.

Nasihat mereka yang manis, tetapi beracun dengan janji kesenangan harta dan mempertahankan takhta adalah bohong semata-mata. Namun, ada yang terpengaruh akibat diperhambakan. Walaupun banyak hartanya dan berada di atas takhta, pada akhirnya akan memperoleh kerugian di dunia, bahkan di akhirat lebih parah dan menyeksa.

Sejarah hilangnya kuasa Islam yang pernah memimpin dunia menjadi bukti nyata yang sepatutnya diambil iktibar. Perkara ini berlaku apabila kalangan orang Islam ditipu oleh musuh daripada kalangan bukan Islam serta munafiq yang berada dalam kalangan umat Islam sendiri yang diperalatkan bagi menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah yang lemah, selain beberapa kesilapan dengan janji menggantikan khalifah baharu kepada sesiapa yang menerima perancangan mereka.

Akhirnya, tanah air Islam dijajah dan dibahagikan dalam kalangan penjajah, dibahagikan takhta yang tidak berkuasa, rakyat diabdikan, hasil buminya dirompak, serta dibantu dengan senjata agar saling berperang saudara dan membunuh diri.

Sehinggakan, tanah suci Palestin, bumi para anbiya’ dirampas menjadi negara Israel dan Masjid al-Aqsa berada di bawah taklukan mereka. Selain itu, banyak negara yang diberikan kemerdekaan mengambil penasihat daripada bekas penjajah dalam berbagai-bagai lapangan.

Hanya janji Allah SWT sahaja yang benar, kerana mustahil bagi Allah memungkiri janji dan tiada kuasa yang dapat mengalahkan kuasa-Nya.

Kini, sejarah berulang lagi apabila Amerika Syarikat dan sekutunya dalam gabungan Ahzab zaman ini menjanjikan kepada negara Arab dan Islam supaya menerima pelan damai yang telah dirancang mereka, dengan syarat-syarat yang nyata memperbodohkan dan zalim serta menjanjikan kerjasama ekonomi dan pertahanan. Mereka juga meletakkan syarat agar melucutkan senjata kumpulan Islam yang dilahirkan semula bagi menegakkan Islam, serta menghalang kumpulan Islam daripada menjadi kerajaan Palestin dengan menyerahkan pemerintahan kepada kumpulan Arab sekular yang tidak mendaulatkan Islam.

Allah telah memberikan peringatan bahawa mereka itu selamanya tidak ikhlas kepada umat Islam. Firman Allah SWT:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ ١٢٠

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, ‘Sesungguhnya, petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).’ Dan sesungguhnya, jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka tiada pelindung dan penolong bagi kamu.” [Surah al-Baqarah: 120]

Firman Allah SWT:

إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيۡـًٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ ١٢٠

“Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu.
Sesungguhnya, Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan.” [Surah Ali ‘Imran: 120]

Di sini menunjukkan bahawa pertolongan musuh itu membawa rebah, bukan memberikan faedah.

Mereka yang terpengaruh dan boleh ditipu adalah daripada kalangan yang munafiq dan lemah iman yang lahir dalam peristiwa Ahzab pada zaman Rasulullah SAW, yang tidak percaya kepada janji kemenangan daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan Allah adalah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan (kamu) dan hatimu naik menyesak sampai di tenggorokan, dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hati mereka) dengan goncangan yang sangat. (11) Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12)” [Surah al-Ahzab: 9–12]

Al-Quran ialah mukjizat ilmu yang berkekalan. Peristiwa yang disebut dalamnya akan berulang pada sepanjang zaman. Kini, kita sedang berdepan dengan ujian bala tentera Ahzab yang baharu, mereka muncul daripada kejutan kebangkitan Islam yang melancarkan operasi Taufan al-Aqsa. Mereka berhasil menembusi pertahanan negara Zionis Israel yang dikatakan kebal, dengan bantuan segala jenis senjata daripada sekutunya yang berkuasa besar dan kaya-raya, termasuk senjata pemusnah yang dilarang oleh undang-undang antarabangsa.

Mereka merupakan bala tentera Ahzab baharu yang menguasai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahkamah Antarabangsa, Bank Dunia (World Bank), dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), sehingga membolehkan Israel bertindak melampaui undang-undang, ajaran agama, dan perikemanusiaan dengan membunuh sesiapa sahaja dan memusnahkan apa-apa sahaja.

Keadaan musuh yang pada zahirnya sangat kuat dan kaya-raya berjaya menakutkan banyak negara, termasuk negara Islam dan Arab yang dikepalai oleh para pemimpin yang bersifat munafiq atau lemah imannya, kerana kebanyakan daripada mereka mendapat kedudukan yang dihadiahkan oleh bekas penjajah masing-masing. Walaupun ada yang masih solat, haji, dan umrahnya ke Rumah Allah (Kaabah di Makkah), tetapi kiblat politiknya ke Rumah Putih (Washington), sementara ekonomi dan pergantungan rezekinya pada Bank Dunia dan IMF, walaupun kekayaan melimpah-ruah hasil bumi kurniaan Allah.
Kita menyaksikan pula kemenangan moral yang besar kurniaan Allah kepada kumpulan Islam di Palestin, dan segelintir negara yang membantunya turut mendapat pertolongan Allah yang luar biasa di medan perang, apabila mereka beramal kepada perintah Allah SWT yang berfirman:

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa saja yang kamu mampu dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]

Allah memerintahkan supaya bersedia sekadar kemampuan dengan ikhlas, walaupun tidak sama dengan kemampuan musuh yang lebih kaya hartanya, lebih besar bala tenteranya, serta lebih lengkap, banyak, dan canggih senjatanya.

Pada masa yang sama, Allah SWT berjanji memberikan pertolongan kepada sesiapa yang meninggikan agama-Nya:

إِن يَنصُرۡكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمۡۖ وَإِن يَخۡذُلۡكُمۡ فَمَن ذَا ٱلَّذِي يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعۡدِهِۦۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ١٦٠

“Jika Allah menolong kamu, maka tiadalah orang yang dapat mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu (tidak memberikan pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) daripada Allah sesudah itu? Oleh sebab itu, hendaklah kepada Allah saja orang-orang Mukmin bertawakal.” [Surah Ali ‘Imran: 160]

Firman Allah SWT:

… وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠

“…Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” [Surah al-Hajj: 40]

Mereka berperang mengikut adab Islam yang mengharamkan pelampauan. Firman Allah SWT:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Rasulullah SAW serta para khalifah dan raja Islam yang adil berpesan kepada bala tentera supaya jangan melampau sehingga membunuh kanak-kanak, kaum wanita, warga tua, agamawan, dan orang awam yang tidak terlibat dalam peperangan, di samping tidak menyekat bekalan makanan mereka. Semuanya dilaksanakan oleh para pejuang Islam di Palestin dan segelintir negara yang ikut berperang menyokongnya.

Berbeza dengan bala tentera Israel dan sekutunya yang melampau sehingga membunuh sesiapa sahaja, khususnya kanak-kanak, kaum wanita, warga tua, dan lain-lain. Mereka turut menyerang hospital, rumah ibadat bukan Yahudi, khemah perlindungan, dan para pembantu kebajikan, menyebabkan kemarahan di seluruh dunia, termasuk rakyat di negara yang bersekutu bersama Israel sehingga negara haram itu dipulaukan.

Ada kalangan negara bukan Islam Amerika Latin dan Afrika yang memutuskan segala hubungan dengan Israel dan membawanya ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ), di samping bertindak di PBB dan lain-lain.

Malangnya, masih ada negara Islam dan Arab yang melakukan normalisasi dengan Israel atau membisu dan mengecewakan rakyat Palestin, di samping mendukung nasihat perdamaian yang zalim daripada Israel dan sekutunya, kerana percaya akan janji sokongan politik dan ekonomi sehingga sanggup menjual maruah agama dan kemanusiaan.

Rasulullah SAW menyatakan terdapat penyakit yang melemahkan umat Islam pada akhir zaman dalam hadisnya:

يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا، فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزِعَنَّ اللهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ، فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، ‌وَمَا ‌الْوَهْنَ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.

“Tiba masanya umat-umat yang lain (bukan Islam) mengelilingi kalian laksana mereka yang mengelilingi hidangan yang lazat.” Ada yang bertanya, “Adakah jumlah kita pada masa itu sedikit?” Baginda menjawab, “Bahkan, pada masa itu kalian ramai, tetapi laksana sampah sarap dan buih yang dihanyutkan oleh arus banjir. Allah mencabut rasa kehebatan terhadap kalian daripada perasaan hati musuh kalian, dan Allah mencampakkan dalam hati kalian penyakit al-wahan (hina).” Ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah maksud al-wahan itu?” Baginda menjawab, “Terlalu kasih akan dunia dan takut akan mati.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, no. 4297, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, no. 22397, daripada Thauban bin Bujdud]

Kaya hartanya, tapi papa rohnya. Apabila diberikan bayaran oleh musuh daripada hasil negaranya, maka ramai orang yang menjadi kaya dan pelahap akan harta, sehingga lupa diri akan adanya ajal dan takut akan mati kerana banyaknya maksiat yang dilakukan.
Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah SAW:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ… قُلتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قالَ: نَعَمْ، إذَا كَثُرَ الخَبَثُ.

“Tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah! Bangsa Arab ditimpa kecelakaan yang hampir berlaku! …” Aku (Ummu al-Mu’minin Zainab binti Jahsy RA) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kita ditimpa kecelakaan dalam keadaan masih ada orang yang soleh (baik) dalam kalangan kita?” Baginda menjawab, “Ya, apabila banyaknya kejahatan, (khususnya maksiat yang besar seperti arak, zina, hiburan maksiat, dan lain-lain).” [Hadis Muttafaq ‘Alaih riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, no. 7059, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Fitan wa Ashrat al-Sa‘ah, no. 2880, daripada Zainab binti Jahsy]Perkara itu terjadi akibat terpengaruh dengan musuh Islam yang membawa masuk perkara maksiat dan memberikan kekayaan harta yang melampau. Inilah antara senjata yang membunuh kekuatan rohani dan melemahkan iman.

Kini, mereka menunjukkan sikap yang mengecewakan rakyat Palestin yang dizalimi dengan cara paling ganas dan melampau dari segi agama dan kemanusiaan. Sungguhpun begitu, perkara tersebut tidak menyentuh perasaan persaudaraan agama, bangsa, dan kemanusiaan mereka, disebabkan oleh kelemahan iman apabila bergelumang dengan maksiat, harta, dan kedudukan yang melekakan.

Gelap hati mereka dan hilang kemanisan iman, sehingga dapat digoda oleh bala tentera syaitan daripada kalangan musuh Islam, seterusnya menimbulkan kelemahan kepercayaan kepada janji Allah yang menjanjikan kemenangan dunia dan akhirat. Sehingga mereka tidak peduli terhadap peringatan berulang kali dalam ayat yang melarang berwala’ kepada musuh Islam, yang menjadi sifat orang munafiq yang Islam pada zahirnya sahaja. Firman Allah SWT:

بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا
١٣٩

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Adakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya, semua kekuatan ialah kepunyaan Allah. (139)” [Surah al-Nisa’: 138–139]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Safar 1447 / 19 Ogos 2025