Oleh ; Rohayati Ripin
SETIU – Jati diri anak muda menjadi penentu masa depan ummah apabila generasi ini perlu tampil sebagai golongan yang kuat semangat, berilmu dan berakhlak mulia dalam menghadapi cabaran semasa.
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu, Rahsidah Arbain berkata, kekuatan anak muda bukan sekadar pada fizikal, tetapi lebih penting menjaga maruah dan kesucian diri, berani menyatakan kebenaran, berilmu serta beradab dalam kehidupan.
“Maryam dijadikan contoh teladan kerana keteguhan maruahnya.
“Anak muda hari ini juga perlu mencontohi keberanian ibu Nabi Musa yang penuh tawakal ketika melepaskan anaknya ke sungai dan mengambil semangat dua puteri Nabi Syuaib yang beradab serta berilmu dalam menjaga ayah mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Rehlah bersama Gen3 Setiu, di Lata Hulu Kekabu, Permaisuri, semalam.
Rahsidah turut menegaskan cabaran anak muda masa kini semakin berat apabila berdepan isu buli, penyakit mental seperti anxiety, depression dan bipolar, selain pengaruh pemakanan tidak sihat.
“Anak muda jangan ambil mudah isu kesihatan mental kerana ia sama penting seperti penyakit fizikal lain.
“Cara mengatasinya ialah dengan menjaga pemakanan, emosi dan meluahkan perasaan kepada orang yang dipercayai,” katanya.
Tambahnya, anak muda tidak perlu takut untuk bersuara, kekal bersemangat dalam perjuangan Islam dan terus menjadi pelapis kepada generasi terdahulu.
“Walaupun berdepan cabaran Gen Z yang dilihat rapuh, anak muda mesti bangkit menjadi tonggak kekuatan ummah.
“Peganglah empat perkara penting iaitu menjaga maruah, berani menyatakan kebenaran, berilmu dan beradab serta menjadi pendukung perjuangan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, pendekatan mendidik dan mendampingi anak muda mesti diperkasakan supaya mereka tidak menyendiri, sebaliknya menjadi generasi berakhlak mulia, berintegriti dan bertanggungjawab.