KUALA TERENGGANU – Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Transformasi Pembangunan Negara wajar mendapat sokongan penuh kerana ia merupakan langkah strategik membina Malaysia yang lebih adil, seimbang dan makmur.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat, berkata idea yang dikemukakan Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar adalah satu mekanisme penting untuk membetulkan ketidakadilan dalam agihan pembangunan negara.
Menurutnya, dengan menilai semula keberkesanan Rancangan Malaysia (RMK) sebelum ini, kelemahan lampau boleh diperbaiki supaya setiap projek benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar terhenti di atas kertas.
“Melalui audit terhadap sistem pemberian sedia ada termasuk geran am, geran khas dan perkongsian hasil, kita mampu menutup ruang ketirisan sekali gus memastikan dana sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau menambah, cadangan untuk mengadaptasi model antarabangsa seperti ‘Equalization Payment’ dan ‘Fiscal Stabilization Programme’ yang berjaya diamalkan di Jerman, Kanada serta Australia membuktikan Malaysia bersedia mengambil pendekatan terbaik dunia bagi menjamin pembangunan negeri yang lebih seimbang.
Hanafiah turut menegaskan, penyertaan semua negeri melalui wakil rasmi dalam suruhanjaya itu akan memperkukuh semangat federalisme sejati, di mana suara negeri didengar dan dihormati.
“Rakyat tidak peduli siapa yang berkuasa, sama ada Persekutuan atau Negeri. Apa yang mereka mahu ialah jalan raya dibaiki, peluang pekerjaan diwujudkan, kemudahan asas dipertingkatkan dan masa depan keluarga mereka terjamin. Suruhanjaya ini adalah jawapan kepada tuntutan itu,” katanya.
Beliau menegaskan, sudah tiba masanya berhenti bermain dengan janji dan mula bergerak dengan tindakan nyata.
“Sokongan kepada cadangan ini bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan demi keadilan dan kemajuan seluruh rakyat Malaysia,” tegasnya.