Home Berita PAS Terengganu

Pakar UPM kenal pasti dua spesies rumput laut ditemui di Kijal

10
SHARE

KEMAMAN – Dua spesies rumput laut iaitu ‘Halophila beccarii’ dan ‘Halodule pinifolia’ telah dikenal pasti terdapat di perairan Kijal menerusi Program CEPA dan Kempen Kesedaran Rumput Laut bersama para nelayan tempatan, semalam.

Pakar Rumput Laut Malaysia dari Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Muta Harah Zakaria, berkata rumput laut memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kelestarian ekosistem marin.

Katanya, rumput laut berfungsi mengurangkan pencemaran air, membantu mengawal hakisan tanah, menjadi sumber makanan kepada hidupan marin seperti penyu, dugong serta anak-anak ikan, selain menjadi habitat dan tempat berpaut kepada kuda laut.

“Rumput laut juga memberi manfaat besar kepada manusia kerana ia digunakan dalam makanan dan ubat-ubatan seperti antioksida serta antibiotik,” katanya ketika berucap pada program berkenaan yang bertempat di Darul Iman Training Centre (DITC) Kijal, Kemaman semalam.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris.

Dr Muta Harah berkata, di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak, ia turut dijadikan bahan binaan atap serta anyaman bakul.

“Program kesedaran ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman masyarakat, khususnya komuniti nelayan Kijal.

“Dari sudut kepentingan memelihara serta memulihara khazanah laut yang bernilai tinggi untuk kesejahteraan generasi masa hadapan,” ujarnya.