Home Berita PAS Terengganu

15 Tahun usaha, petani hasilkan enam tan Melon setiap musim

6
SHARE

DUNGUN – “Kalau tidak sabar dan terus belajar, saya mungkin sudah lama berhenti,” kata Mohd Jalil Mat Ali, 63, seorang petani berpengalaman yang kini mampu menghasilkan sehingga enam tan buah melon manis setiap musim hasil usaha lebih 15 tahun dalam bidang pertanian.

Beliau yang mengusahakan tanaman melon manis menggunakan sistem fertigasi menjangkakan hasil sebanyak 4,000 biji buah bagi musim kali ini, dengan tiga musim tuaian setahun.

Menurut Mohd Jalil, pelbagai cabaran dihadapi pada peringkat awal, termasuk serangan haiwan perosak seperti kera dan tupai serta peningkatan kos baja dan racun, namun semuanya ditempuh berbekalkan minat serta keazaman untuk berjaya.

“Saya pernah mengalami kerugian apabila banyak tanaman rosak akibat gangguan kera.

“Tambahan pula, harga baja dan racun semakin mahal. Tapi saya tidak putus asa, saya belajar dan buat penambahbaikan setiap musim,” katanya ketika ditemui di ladangnya di sini.

Beliau berkata, penggunaan sistem fertigasi bukan sahaja membantu meningkatkan hasil dan kualiti buah, malah memudahkan pengurusan ladang secara lebih efisien.

“Kini alhamdulillah, hasil semakin baik dan ada pembeli tetap dari luar daerah. Ini sumber rezeki utama saya,” ujarnya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi turut hadir meninjau hasil tanaman Mohd Jalil dan menyatakan sokongan terhadap usahanya, selain menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang pertanian moden.

Menurutnya, penglibatan belia dalam sektor ini bukan sahaja mampu menjana pendapatan, malah turut menyumbang kepada kelestarian bekalan makanan negara.