Home Berita PAS Terengganu

Azam, Mariam Dinobat Johan Tilawah Kuala Nerus

8
SHARE

KUALA NERUS – Muhammad Azam Md Noor dinobatkan sebagai johan Majlis Tilawah al-Quran peringkat Daerah Kuala Nerus yang berlangsung di Masjid Gong Kijang, Bukit Tunggal, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, penganjuran tilawah ini bukan sekadar pertandingan, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada pengajian al-Quran secara berterusan dalam masyarakat.

“Tilawah bukan hanya pentas pertandingan, tetapi jalan untuk memelihara keindahan kalam Allah di dalam hati dan kehidupan seharian umat Islam.

“Usaha memperbetulkan bacaan Surah al-Fatihah juga perlu diperkasakan kerana ia bacaan utama dalam solat,” katanya.

Sebanyak enam peserta mengambil bahagian pada tilawah tersebut, terdiri daripada empat qari dan dua qariah.

Para hadirin turut diperdengarkan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh barisan peserta terbaik daerah.

Bagi kategori qari, naib johan dimenangi Muhammad Hamizan Hamzah, tempat ketiga disandang Muhammad Afif Yahaya, manakala Abdullah Haris Zakaria menerima saguhati.

Sementara itu, kategori qariah menyaksikan Nik Siti Mariam Nik Abdul Shukor dinobatkan sebagai johan dan naib johan diraih Rahmah Ibrahim.

Peserta yang berjaya akan mewakili Kuala Nerus ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang dijadualkan berlangsung di Setiu pada 28 hingga 30 Oktober 2025.

Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus selaku urusetia bersama Masjid Gong Kijang sebagai tuan rumah turut menerima penghargaan atas komitmen dalam menjayakan majlis berkenaan.

Dalam ucapannya, Hishamuddin turut menyeru agar semangat penghayatan al-Quran terus disuburkan di setiap lapisan masyarakat.

“Walaupun kita sudah dewasa mahupun tua, jangan berhenti mempelajari ilmu tajwid dan berusaha menghayati al-Quran. Kuasailah al-Quran, nescaya kita dapat menyingkap rahsia di sebaliknya,” ujarnya.

Majlis turut dihadiri Zaharudin Zahid, ADUN Bukit Tunggal, Mohd Shafizi Ismail, ADUN Batu Rakit, serta Ahmad Azizi Zulkifli, Pegawai Daerah Kuala Nerus.